Skip to main content

Malaysia

Scam berselindung di sebalik parcel, Parcel Shield jadi benteng pengguna

Majlis pelancaran Parcel Shield disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, baru-baru ini. - Foto Postal Forum
Majlis pelancaran Parcel Shield disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, baru-baru ini. - Foto Postal Forum

Ringkasan AI

  • Inisiatif Parcel Shield dilancarkan untuk memperkukuh usaha membanteras penipuan dalam industri pos, kurier dan e-dagang di Malaysia.
  • Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG) melibatkan 14 organisasi utama bagi perkongsian maklumat, amaran awal dan penyelarasan pencegahan penipuan.
  • Pengguna disaran semak status penghantaran melalui saluran rasmi dan segera lapor kepada pihak berkuasa jika menjadi mangsa penipuan.
Advertisement

SHAH ALAM: Notifikasi penghantaran palsu, pautan pancingan data dan penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD) antara ancaman yang mendorong industri pos, kurier dan e-dagang memperkukuh usaha membanteras penipuan menerusi inisiatif Parcel Shield.

Dilancarkan oleh Postal Forum bersempena sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, inisiatif itu bertujuan meningkatkan perlindungan serta keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan pos dan kurier yang sah.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, baru-baru ini.

Advertisement

Menerusi Parcel Shield, Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG) diwujudkan sebagai platform khusus untuk perkongsian maklumat, penyaluran amaran awal serta penyelarasan langkah pencegahan dalam kalangan pemain industri.

Kumpulan itu kini dianggotai 14 organisasi, antaranya ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express, MTR Freight, Pos Malaysia, SF Global Express, Skynet Worldwide, SPX Express, Teleport, TikTok Shop, United Parcel Service (UPS) dan Mudah.my.

Advertisement
Image
HKN 2026
Fahmi (tengah) menekankan bahawa daripada 44 kes penipuan bungkusan yang direkodkan, dua daripadanya telah berjaya dibawa ke mahkamah. - Foto Postal Forum

Ketua Pegawai Eksekutif Postal Forum, Nurhafizah Hanifah, berkata kerjasama itu membolehkan pemain industri bertindak secara lebih terselaras, selain memastikan pengguna mendapat maklumat terkini mengenai taktik penipuan.

“Parcel Shield membawa dua mesej yang jelas.

“Kepada sindiket penipuan: industri kini bersatu, kami berkongsi maklumat risikan dan kami akan menutup setiap ruang kelemahan yang cuba dieksploitasi.

“Kepada pengguna: anda tidak bersendirian. Kami akan terus menyalurkan maklumat agar anda sentiasa selangkah di hadapan.

“Setiap rakyat Malaysia seharusnya dapat menerima notifikasi penghantaran, membuat pembayaran atau membuka pintu kepada penghantar kurier tanpa rasa takut,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan bahawa daripada 44 kes penipuan bungkusan yang direkodkan, dua daripadanya telah berjaya dibawa ke mahkamah.

Beliau turut membandingkan jumlah kes berkenaan dengan keseluruhan penghantaran kurier yang kini mencecah 1.5 bilion, sambil menyifatkan PSWG sebagai benteng perlindungan pengguna dan usaha memperkukuh integriti industri pos serta kurier.

Image
HKN 2026
Menerusi majlis, pemberian hadiah Anugerah Volvo Special Award: Circuit Test (Lorry) turut diadakan. - Foto Postal Forum

Selain perkongsian maklumat dalam kalangan pemain industri, Parcel Shield turut memberi tumpuan kepada kesedaran awam menerusi hebahan amaran penipuan yang akan disebarkan melalui pelbagai saluran komunikasi.

Pengguna disaran menyemak status penghantaran hanya melalui aplikasi, laman sesawang atau saluran khidmat pelanggan rasmi syarikat kurier, tidak menekan pautan mencurigakan serta mengelakkan pembayaran bagi bungkusan COD yang tidak pernah dipesan.

Individu yang mempunyai keraguan juga dinasihatkan menghubungi syarikat kurier melalui saluran rasmi, manakala individu yang telah menjadi mangsa penipuan perlu segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Postal Forum turut menggesa penyedia perkhidmatan pos dan kurier serta platform e-dagang menyertai PSWG bagi memperluas kerjasama industri dalam melindungi pengguna.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://postalforum.my/ . 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement