Skip to main content

Politik

Tahanan rumah: Mat Sabu serah gaji penuh, cadang layanan saksama semua banduan

Mohamad bercakap pada sidang media sempena program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Negeri Melaka di Taman Panglima Pak, Jasin, pagi ini. - Foto Astro AWANI
Mohamad bercakap pada sidang media sempena program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Negeri Melaka di Taman Panglima Pak, Jasin, pagi ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

JASIN: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh pembubaran Parlimen penggal ini.

Langkah itu sebagai usaha membantu membiayai usaha badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menegakkan keadilan berkaitan isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, gaji bulanan sebagai menteri berjumlah RM11,900 akan disalurkan sepenuhnya kepada NGO yang terlibat dalam usaha berkenaan.

Advertisement

“Saya menyeru badan-badan bukan kerajaan, terutamanya NGO seperti Bersih, Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie serta seluruh masyarakat sivil agar terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik, mahupun latar belakang seseorang,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Negeri Melaka di Taman Panglima Pak, di sini, pagi ini.

Mengulas sama ada cadangan itu dibuat sebagai tanda protes, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pertikaian peribadi dengan Najib atau keluarga beliau.

Sebaliknya, beliau mahu prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan tanpa memberikan layanan istimewa kepada mana-mana individu berdasarkan kedudukan atau pengaruh.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Najib, mahupun anggota keluarganya.

“Saya tidak mencabar sesiapa, saya hanya mengesyorkan supaya ada satu undang-undang nanti, kalau seseorang itu, tak kiralah apa kesalahan dia, kalau enam tahun (hukuman), tiga tahun dalam penjara, tiga tahun di rumah,” katanya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan memberi peluang kepada semua banduan untuk menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala separuh lagi menerusi tahanan di rumah.

Katanya, cadangan itu melibatkan semua jenis kesalahan dan bukan hanya tertumpu kepada individu atau kes tertentu.

Mohamad berkata, beliau akan berbincang dengan setiausahanya bagi menentukan NGO yang akan menerima sumbangan berkenaan untuk menggerakkan kempen, termasuk penganjuran forum, seminar dan perhimpunan.

Must Watch Video

Advertisement