Skip to main content

Teknologi

ITU PP-26: AI berisiko lebarkan jurang kuasa pengkomputeran global - Fahmi

Fahmi ketika ditemu bual pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, 10 Nov 2026. --fotoBERNAMA
Fahmi ketika ditemu bual pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) di Doha, 10 Nov 2026. --fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Kemajuan pesat AI berisiko mewujudkan jurang pengkomputeran global baharu, meningkatkan ketidaksamaan antara negara maju dan membangun, khususnya di Selatan Global.
  • Kerajaan perlu memastikan rangka kerja kawal selia seiring dengan perkembangan teknologi AI, sambil menyeimbangkan inovasi dan perlindungan kepada masyarakat.
  • Malaysia berusaha dipilih semula ke Majlis ITU untuk terus menyumbang pengalaman dan memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran telekomunikasi global.
Advertisement

DOHA: Kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) berisiko mewujudkan jurang kuasa pengkomputeran global yang baharu, yang berpotensi melebarkan lagi ketidaksamaan antara negara maju dan membangun, terutamanya negara-negara di Selatan Global, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata jurang pengkomputeran kini semakin menjadi satu kebimbangan yang mendesak, pada ketika negara-negara berlumba-lumba memanfaatkan teknologi AI, sambil berdepan dengan akses yang tidak seimbang terhadap sumber pengkomputeran yang diperlukan, untuk menyokong pembangunan mereka.

Fahmi berkata isu tersebut melangkaui jurang digital tradisional, yang sebahagian besarnya tertumpu pada akses kepada ketersambungan Internet dan perkhidmatan digital.

Advertisement

“Satu daripada mesej yang kami dengar amat menarik, bahawa kita bukan sahaja bercakap tentang jurang ketersambungan atau jurang digital. Ia kini benar-benar menjadi jurang pengkomputeran.

“...ini amat mencabar dan sekiranya banyak negara, terutamanya di Selatan Global, tidak bersaing seiring dan tiada mekanisme untuk kita mengimbanginya, maka kita akan melihat jurang yang semakin melebar antara mereka yang memilikinya dan mereka yang tidak,” katanya.

Advertisement

Fahmi berkata demikian dalam satu temu bual di luar Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), di sini semalam.

Beliau berkata satu lagi cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan adalah untuk memastikan rangka kerja kawal selia, seiring dengan kepantasan kemajuan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini, terutamanya AI.

Fahmi berkata Setiausaha Agung ITU Doreen Bogdan-Martin telah mengetengahkan betapa signifikannya AI boleh berkembang dalam masa setahun sahaja, sekali gus menekankan keperluan mendesak bagi kerajaan untuk bersedia menghadapi risiko-risiko yang akan muncul.

Beliau berkata kerajaan mesti mencapai keseimbangan antara menggalakkan inovasi teknologi dan menyediakan perlindungan yang mencukupi untuk melindungi perniagaan, pasaran, serta orang awam.

“Satu daripada cabaran terbesar ialah memastikan pengawalseliaan seiring dengan jenis kemajuan teknologi yang kita lihat sekarang.

“Kita tidak mahu menghentikan inovasi dan kemajuan teknologi, tetapi ia mesti seimbang,” katanya.

Fahmi berkata kebangkitan agentic AI, yang membolehkan sistem AI melaksanakan tugas dan membuat keputusan dengan lebih autonomi, memberikan peluang yang besar dan pada masa yang sama, potensi risiko.

“Ketakutan terbesar dan peluang terbesar sebenarnya terletak pada apa yang boleh dilakukan oleh  agentic AI, apa yang tidak sepatutnya dilakukan dan bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan dalam melibatkan pihak industri, untuk membina batasan (garis panduan) bagi memastikan penggunaan teknologi AI akan memberi manfaat kepada umat manusia,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata Malaysia berusaha untuk dipilih semula ke dalam Majlis ITU untuk membolehkan negara terus menyumbang pengalaman dan perspektifnya, terutamanya dari Asia Tenggara dan Selatan Global, kepada perbincangan telekomunikasi antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia, yang menjadi ahli ITU sejak 1958, mempunyai pengalaman berharga untuk dikongsi dalam pelbagai bidang termasuk standard teknikal, kepercayaan digital dan saling kendali.

Fahmi berkata penyertaan dalam ITU, menyediakan platform yang penting bagi negara-negara untuk mengukuhkan kerjasama dan membangunkan penyelesaian, terhadap cabaran yang semakin kompleks dalam landskap telekomunikasi global.

Mengenai penganjuran ITU PP-26 oleh Qatar serentak dengan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026, beliau memuji penganjuran tersebut kerana ia menyediakan peluang untuk meneroka teknologi baharu yang muncul serta berinteraksi dengan menteri-menteri dan badan pengawal selia telekomunikasi dari pelbagai negara.

Beliau berkata acara itu membolehkan peserta untuk lebih memahami cabaran bersama dan meneroka penyelesaian praktikal melalui kerjasama antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement