Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan dua kes baharu jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) pada Khamis.

Kedua-dua individu berkenaan merupakan warganegara Singapura yang masing-masing berusia 41 tahun dan 27 tahun.

Memetik laporan Channel News Asia, kes ke-29 itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China dan tiada kaitan dengan kes-kes terdahulu.

Sementara itu, kes ke-30 juga tidak sejarah mengunjungi China namun dia merupakan seorang daripada empat penduduk yang disiasat di bawah Pusat Jangkitan Penyakit Kebangsaan (NCID).

Individu berkenaan disiasat susulan menghadiri mesyuarat perniagaan yang turut dihadiri peserta dari China, Malaysia dan Korea Selatan di Grand Hyatt Singapura.

Dalam pada itu, laman web rasmi Kementerian Kesihatan Singapura menyatakan kedua-dua kes baharu itu telah disahkan malam tadi dan usaha mengenal pasti kontak masih dijalankan.

"Kaedah yang digunakan adalah meneliti sebarang hubungan yang mungkin berkaitan dengan kes terdahulu atau pelancong dari China," katanya memetik laman web rasmi kementerian tersebut.

Kementerian Kesihatan Singapura turut menjelaskan setakat ini semua kes yang disahkan dijangkiti novel koronavirus melibatkan pelancong warganegara China dari Hubei.

Tambahnya, individu yang mempunyai kaitan dengan pelancong dari China juga antara kontak dalam kes-kes novel koronavirus di Singapura.

"Kesemua mereka telah dikuarantin dan berada dalam kawasan berpagar tapi kita mesti bersedia kemungkinan kluster jangkitan baharu melibatkan masyarakat tempatan.

"Kami perlu mengambil langkah ini kerana telah berlaku di beberapa tempat di luar China," katanya.