Skip to main content

Dunia

Dua maut, ratusan dipindahkan akibat kebakaran hutan di pulau Greece

A firefighter walks through a burned area as flames engulf a house during a wildfire on the island of Salamina, west of Athens, Greece, Sunday, Aug. 16, 2026. (AP Photo/Michael Varaklas)
Seorang anggota bomba berjalan merentasi kawasan yang terbakar ketika api marak memusnahkan sebuah rumah dalam kebakaran hutan di Pulau Salamina, barat Athens, Greece. - Foto AP
Advertisement

ATHENS: Dua orang maut manakala ratusan penduduk dipindahkan selepas dua kebakaran hutan tercetus hampir serentak di Pulau Salamina berhampiran Athens pada Ahad.

Kira-kira 200 anggota bomba dikerahkan bagi menghalang kedua-dua kebakaran daripada bergabung menjadi satu kebakaran besar di pulau yang diletakkan di bawah amaran risiko kebakaran hutan tinggi itu.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran pertama dilaporkan berlaku di kawasan Peristeria di selatan pulau berkenaan sebelum merebak dengan pantas akibat angin kencang. Kebakaran kedua pula tercetus kira-kira 20 minit kemudian di bandar Selinia di bahagian timur pulau itu.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi kebakaran pertama menemukan dua mayat, yang dipercayai pasangan suami isteri, menurut media tempatan.

Sehingga Ahad malam, salah satu kebakaran berjaya dikawal manakala operasi pemindahan penduduk telah selesai, dengan kira-kira 500 orang meninggalkan pulau itu melalui laluan laut.

Menteri Kesihatan Greece, Adonis Georgiades, berkata sekurang-kurangnya 10 orang lagi mengalami kecederaan akibat kebakaran atau gejala akibat menghidu asap, dengan lima daripadanya menerima rawatan di hospital tempatan.

Selain 50 jentera bomba, beberapa pesawat pemadam kebakaran, kapal pengawal pantai serta kapal persendirian turut dikerahkan bagi membantu operasi memadamkan kebakaran dan memindahkan penduduk.

Pulau Salamina yang terletak di barat Athens mempunyai kira-kira 37,000 penduduk, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada warga emas.

Kejadian itu berlaku ketika beberapa negara Eropah berdepan gelombang kebakaran hutan susulan cuaca panas dan kering yang berterusan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement