THE HAGUE: Dua pesawat milik syarikat penerbangan Belanda, KLM, berlanggar di atas landasan di Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol pada Sabtu pagi, namun tiada penumpang atau kru cedera dalam insiden tersebut.
Menurut penyiar awam Belanda NOS, salah satu pesawat baru sahaja tiba dari Birmingham, manakala sebuah lagi sedang bersiap untuk berlepas ke Athens.
Advertisement
Sebuah pesawat ketika itu berada dalam keadaan parkir, sementara pesawat kedua sedang bergerak ketika insiden berlaku.
Penumpang dan kru kedua-dua pesawat dibawa semula ke pintu pelepasan sejurus selepas kejadian.
KLM memaklumkan bahawa semua penumpang telah dijadualkan semula ke penerbangan lain.
Kedua-dua pesawat kemudiannya dipindahkan ke hangar untuk pemeriksaan lanjut.
KLM menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang “sangat luar biasa”, dan pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar perlanggaran berkenaan.