Perancis bergelut dengan dua drama tebusan pada Jumaat berikutan insiden seorang lelaki bersenjata menembak mati dua individu di sebuah pasar raya di timur Paris ketika polis mengepung suspek serangan di Charlie Hebdo di lokasi lain.

Menurut agensi berita AFP, lelaki tersebut turut menahan lima mangsa sebagai tebusan ketika pihak polis memenuhi kawasan pasar tersebut di Porte de Vincennes.

Suspek kejadian tersebut, menurut sumber, dipercayai terlibat dengan insiden tembak mati seorang polis wanita di Montrouge di selatan Paris pada Khamis dan dipercayai mengenali dua beradik yang didakwa membunuh 12 orang di Charlie Hebdo.

Polis juga telah mendedahkan foto lelaki tersebut, Amedy Coulibaly, 32, bersama seorang wanita Hayat Boumeddiene, 26, yang dikehendaki atas insiden menembak mati polis wanita itu.

Menurut polis, mereka berkemungkinan bersenjata dan berbahaya.

Polis turut menutup kedai, sekolah serta jalan lingkaran di bandar Porte de Vincennes, selain mengarahkan penduduk agar tidak keluar rumah.

"Sekurang-kurangnya dua telah terbunuh. Mungkin lebih ramai, kita tidak tahu," kata sumber seperti yang dipetik AFP.

Terdahulu, beberapa das tembakan dilepaskan dalam drama kejar mengejar di mana sekurang-kurangnya seorang telah dijadikan tebusan di timur laut Paris.

Kejadian berlaku di lokasi sama di mana polis melakukan pemburuan terhadap dua bersaudara yang didakwa membunuh 12 individu dalam serangan pada Rabu di pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo.

Drama tebusan yang berlaku di sebuah lokasi perniagaan di Dammartin-en-Goƫle 48 jam selepas pemburuan besar-besaran dilakukan terhadap suspek.

Polis telah mengepung dua suspek berkenaan - Cherif Kouachi, 32, dan abangnya Said, 34 - di sebuah kedai percetakan kecil di Seine-et-Marne, kira-kira 12 kilometer dari lapangan terbang utama Paris, Charles De Gaulle.