NEW YORK: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Rabu memberitahu masyarakat antarabangsa bahawa dunia bergantung kepada kemerdekaan negaranya.

Zelenskyy berucap pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Ukraine menyambut Hari Kemerdekaan ke-31 daripada Kesatuan Soviet, dan sebagai menandakan enam bulan dalam mempertahankan diri daripada serangan oleh Rusia, lapor Agensi Anadolu.

Tetapi Rusia membantah ucapan Zelenskyy yang disampaikan di hadapan 15 ahli majlis melalui sidang video, dengan menegaskan beliau mengambil bahagian secara peribadi dalam acara PBB itu selain meminta undian prosedur.

Bantahan Rusia itu ditolak dengan 13 ahli mengundi menyokong penyertaan Zelenskyy dalam mesyuarat itu manakala Rusia mengundi menentangnya.

"Apa yang berlaku sekarang adalah Rusia meletakkan dunia di ambang bencana radiasi," kata Zelenskyy. "Adalah fakta bahawa tentera Rusia telah menjadikan wilayah loji kuasa nuklear terbesar di Eropah, loji kuasa nuklear Zaporizhzhya, sebagai zon perang."

Zelenskyy menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menempatkan pakar tetap di loji kuasa nuklear Zaporizhzhya sehingga Ukraine menguasai semula tapak itu.

Rusia mengambil alih kemudahan itu pada 4 Mac lepas, dua minggu selepas memulakan serangan terhadap Ukraine.

Loji kuasa nuklear terbesar di Eropah telah dibedil beberapa kali, menimbulkan kebimbangan mengenai bencana nuklear. Rusia dan Ukraine saling menuding jari mengenai serangan di kemudahan nuklear itu.

PBB pada Selasa berkata bahawa persiapan sedang dijalankan untuk menghantar satu pasukan dari badan pemantau nuklear PBB ke loji berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan, hanya menunggu kelulusan dan jaminan keselamatan daripada kedua-dua pihak.

-- BERNAMA