MALAYSIA
Pelarasan tarif air di Johor tidak jejaskan majoriti pengguna domestik

Kumpulan pengguna yang berada dalam Jalur Satu dan Dua kekal menikmati kadar tarif lama tanpa sebarang perubahan. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Pelarasan tarif air di Johor tidak akan menjejaskan majoriti pengguna domestik, rumah ibadat dan golongan rentan yang tersenarai dalam e-Kasih, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn Bhd., Anuar Abdul Ghani.
Beliau berkata kumpulan pengguna yang berada dalam Jalur Satu dan Dua kekal menikmati kadar tarif lama tanpa sebarang perubahan.
Katanya pelarasan itu hanya melibatkan sebahagian pengguna domestik Jalur Tiga yang menggunakan lebih 35 meter padu air sebulan serta pengguna kategori bukan domestik.
"Kadar bagi caj minimum domestik kekal RM10.50 sebulan dan penggunaan melebihi 35 meter padu sebulan dikenakan tambahan 35 sen bagi setiap meter padu," katanya dalam kenyataan.Bagi pengguna bukan domestik pula, pelarasan tarif baharu adalah antara RM1 hingga RM1.75 bagi setiap meter padu dengan caj minimum dinaikkan kepada RM41.50 sebulan.
Anuar berkata pengguna kediaman strata yang masih menggunakan meter pukal akan dikenakan tambahan 20 sen bagi setiap meter padu air.
Industri perkapalan pula dikenakan kadar baharu sebanyak RM8.03 setiap meter padu, manakala kategori pusat data -- yang diperkenalkan buat kali pertama -- dikenakan kadar RM5.33 setiap meter padu.
Katanya pelarasan tarif air yang diwartakan dan mula berkuat kuasa semalam adalah langkah penting bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan sistem bekalan air negeri ini lebih moden dan mampan serta mampu memenuhi permintaan masa hadapan.
Beliau berkata ia termasuk usaha menggantikan paip lama yang berisiko tinggi mengalami kebocoran dan memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat sejajar pembangunan pesat serta pertambahan penduduk
Anuar berkata, pelarasan itu juga membuka ruang kepada pelaksanaan beberapa projek naik taraf utama termasuk Pakej Layang 2 Fasa 2 (160 juta liter sehari (JLH) ), Semanggar (50 JLH) dan Semanggar 3 (120 JLH).
"Ia pelaburan yang perlu dilakukan hari ini demi masa depan bekalan air Johor yang lebih baik," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami