QUITO: Ecuador akan mengenakan perintah berkurung sementara di empat wilayah yang terjejas akibat jenayah terancang, lapor Xinhua, memetik Menteri Dalam Negeri John Reimberg pada Jumaat.
Perintah berkurung akan berkuat kuasa dari 17 hingga 30 September di Guayas, Manabi, Los Rios dan El Oro, bermula tengah malam hingga 5 pagi waktu tempatan.
Reimberg berkata langkah itu bertujuan menyokong operasi pasukan keselamatan terhadap kumpulan penjenayah dan akan disertai penempatan luas pasukan polis dan tentera.
"Langkah ini sebagai tindak balas terhadap keperluan keselamatan yang konkrit," katanya di X, sambil menambah pihak berkuasa akan mempergiatkan operasi ke atas kumpulan yang mahu "menyebarkan ketakutan dan mencabar (kerajaan) negeri."
Ecuador berdepan "konflik bersenjata dalaman" sejak 2024, apabila Presiden Daniel Noboa mengisytiharkan langkah untuk meningkatkan usaha memerangi kumpulan penjenayah.
-- BERNAMA-XINHUA