Ejen ICE tembak mati wanita di Minneapolis, cetus kecaman dan protes

Anggota Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) mengawal kawasan selepas seorang pemandu ditembak dalam insiden di Minneapolis, Minnesota. - Foto REUTERS
MINNEAPOLIS: Seorang pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) menembak mati seorang wanita dalam kejiranan kediaman di selatan Minneapolis pada Rabu, ketika protes tercetus susulan tindakan keras Presiden Donald Trump terhadap pendatang di Minnesota.
Ringkasan AI
- Seorang wanita ditembak mati oleh seorang pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) AS di Minneapolis ketika protes berlaku susulan tindakan keras Presiden Donald Trump terhadap pendatang di Minnesota.
- Insiden tembakan itu disifatkan sebagai "tindakan keganasan domestik" oleh Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) sementara Datuk Bandar Minneapolis mendakwa tindakan ejen ICE sebagai "cuai dan tidak bertanggungjawab".
- Gabenor Minnesota mengecam insiden itu dan meminta penunjuk perasaan agar kekal aman, sementara Trump menyebut wanita yang ditembak sebagai "penghasut profesional" dalam hantaran di Truth Social.
Wanita tersebut, dikenali sebagai Renee Nicole Good, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Tricia McLaughlin, mendakwa wanita itu telah “menggunakan kenderaannya sebagai senjata” dan menyifatkan insiden itu sebagai “tindakan keganasan domestik”.
Beliau berkata ejen ICE bertindak kerana “takut akan keselamatan diri, rakan setugas dan orang awam”.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan tindakan ejen ICE sebagai “cuai dan tidak bertanggungjawab”.
“Mereka memporak-perandakan bandar kita. Mereka memisahkan keluarga dan kini, secara literal, membunuh orang,” katanya dalam sidang media.
“Saya telah menonton video itu sendiri. Ini bukan pertahanan diri. Ini mengarut.”
Gabenor Minnesota, Tim Walz, turut mengecam insiden itu sebagai “boleh dijangka dan sepatutnya boleh dielakkan”.
Beliau menggesa para penunjuk perasaan agar kekal aman dan mengumumkan bahawa Pengawal Kebangsaan negeri telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Insiden tembakan itu mencetuskan protes spontan di lokasi kejadian, hanya 1.6 kilometer dari tempat George Floyd dibunuh oleh polis pada 2020.
Penunjuk perasaan melaungkan “Malu! Malu!” dan “ICE keluar dari Minnesota!” sebelum berdepan dengan ejen persekutuan bersenjata lengkap yang melepaskan gas pemedih mata.
Saksi kejadian, Emily Heller, memberitahu stesen radio awam bahawa dia melihat ejen ICE mengarahkan pemandu keluar dari kenderaan.
“Dia cuba berpatah balik, dan ejen ICE berdiri di hadapan keretanya, mengacukan pistol dan menembaknya di muka tiga atau empat kali,” katanya.
Insiden ini berlaku ketika pentadbiran Trump memperhebatkan operasi penguatkuasaan imigresen di bandar-bandar utama AS.
Sejak Selasa, DHS telah menghantar 2,000 pegawai ke kawasan Minneapolis–St Paul, yang dikenali sebagai Twin Cities, sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap pendatang.
Trump sebelum ini menyasarkan komuniti Somalia-Amerika di Minnesota, menyifatkan mereka sebagai “sampah” dan menyatakan bahawa beliau “tidak mahu mereka berada di negara ini”.
Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan diskriminasi dan keganasan terhadap komuniti minoriti.
Ahli Kongres Ilhan Omar, yang mewakili Minneapolis, mengecam operasi tersebut dan menuduh pentadbiran Trump menyebarkan maklumat palsu.
“Anda berbohong. Tiada cubaan untuk merempuh ejen, dan tiada ejen ICE yang cedera,” katanya di platform X sambil memuat naik video insiden.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini menyiasat insiden tersebut.
Kenderaan mangsa dilaporkan mempunyai kesan tembakan di cermin hadapan dan kesan darah di tempat duduk pemandu.
Seorang penduduk tempatan, Venus de Mars, berkata beliau melihat paramedik cuba menyelamatkan mangsa sebelum dibawa pergi dengan ambulans tanpa siren.
Ibu mangsa, Donna Ganger, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang penyayang dan penuh belas kasihan.
“Dia menjaga orang sepanjang hidupnya. Dia seorang insan yang luar biasa,” katanya kepada Minneapolis Star Tribune.
Insiden ini menambah kepada senarai panjang kontroversi melibatkan ICE, yang kini menjadi agensi penguatkuasaan paling dibiayai di AS dengan bajet melebihi kebanyakan angkatan tentera negara lain.
Sejak penggal kedua Trump bermula, sekurang-kurangnya 28 insiden tembakan oleh ejen persekutuan telah direkodkan, dengan empat kematian dan lima kecederaan sebelum kejadian terbaru ini.
Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump mendakwa tanpa bukti bahawa Renee Good adalah “penghasut profesional” dan menyalahkan “radikal kiri” atas kekacauan yang berlaku.
Namun, bagi ramai penduduk Minneapolis, insiden ini menandakan kemuncak ketegangan akibat dasar imigresen yang semakin agresif dan tidak berperikemanusiaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


