WASHINGTON: Ejen imigresen Amerika Syarikat (AS) menggeledah kediaman Ahli Dewan Perwakilan Minnesota, Ilhan Omar, pada pagi Isnin sebagai sebahagian daripada satu siasatan jenayah persekutuan yang sedang dijalankan.
Menurut jurucakap Jabatan Kehakiman AS, ejen daripada Homeland Security Investigations (HSI) melaksanakan waran geledah yang diluluskan mahkamah di kediaman Omar di kawasan Washington, DC.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan tersebut.
Kongres AS ketika ini tidak bersidang dan tidak dapat dipastikan sama ada Omar berada di rumah berkenaan ketika operasi dijalankan.
Omar, anggota Parti Demokrat yang lantang mengkritik Presiden Donald Trump, menyifatkan serbuan itu sebagai cubaan untuk menyasarkan musuh politik serta memperalatkan agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan.
“Selama 10 tahun, Trump menyasarkan saya dengan pelbagai pembohongan dan kempen fitnah tanpa asas. Ini hanyalah peningkatan terbaharu dalam usaha intimidasi politik terhadap saya. Saya tidak akan berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah komunikasinya, Jacklyn Rogers turut menyifatkan tindakan itu sebagai penyalahgunaan kuasa oleh pentadbiran Trump sambil menegaskan, Omar tidak melakukan sebarang kesalahan.
Punca sebenar siasatan jenayah itu masih belum dijelaskan.
Media antarabangsa termasuk BBC yang berada di lokasi melaporkan melihat beberapa ejen membawa kotak keluar dari rumah tersebut menuju ke sebuah van.
Fox News pula melaporkan, siasatan itu berkaitan dokumen imigresen yang difailkan oleh Allahyarham bapanya ketika Omar masih kanak-kanak.
Masa pelaksanaan serbuan itu turut mencetuskan kontroversi kerana berlaku hanya 22 hari sebelum pilihan raya pertengahan penggal November yang bakal menentukan penguasaan Kongres bagi tempoh dua tahun akan datang.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Demokrat yang menyuarakan sokongan kepada Omar.
Jabatan Kehakiman AS secara tradisinya mempunyai dasar untuk mengelakkan tindakan penguatkuasaan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa ia bertujuan mempengaruhi keputusan pilihan raya atau menjejaskan kedudukan mana-mana calon.
Dalam satu kenyataan, kepimpinan Demokrat Dewan Perwakilan berkata, Omar telah lama menjadi sasaran serangan peribadi dan tuduhan tidak berasas oleh Trump.
“Kurang 30 hari sebelum pilihan raya pertengahan penggal, jentera pengusiran besar-besaran Trump kini menyerbu rumah seorang anggota Kongres yang dipilih rakyat serta keluarganya,” menurut kenyataan itu.
Rekod imigresen Omar sering menjadi perhatian ahli politik Republikan.
Awal tahun ini, Ahli Kongres dari South Carolina, Nancy Mace dilaporkan gagal mendapatkan sepina bagi mengakses rekod imigresennya.
Bulan lalu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin mendakwa kepada sebuah podcast konservatif bahawa Omar berdepan tuduhan berkaitan penipuan perkahwinan.
Sementara itu, pegawai sempadan White House, Tom Homan turut mendakwa, Omar sedang disiasat atas pelanggaran imigresen yang tidak diperincikan.
Omar bagaimanapun menolak semua dakwaan tersebut dan menyifatkan siasatan berkenaan sebagai tidak berasas.
Beliau sebelum ini sering menjadi sasaran serangan Trump, termasuk cadangan agar beliau “kembali ke Somalia” dan dihantar pulang, walaupun kewarganegaraan AS merupakan syarat wajib untuk berkhidmat sebagai anggota Dewan Perwakilan.
Omar yang mewakili kawasan Minneapolis, merupakan wanita Somalia-Amerika pertama dipilih ke Kongres AS. Bersama Ahli Kongres Michigan, Rashida Tlaib, beliau juga antara wanita Muslim pertama yang dipilih ke Kongres.
Dalam pilihan raya 2024, Omar memenangi kerusinya dengan memperoleh 74 peratus undi.
Beberapa pemimpin politik Minnesota turut mengkritik operasi berkenaan.
Gabenor Minnesota, Tim Walz menyifatkan tindakan itu sebagai penyalahgunaan kuasa terhadap lawan politik menjelang pilihan raya.
Senator Minnesota, Tina Smith pula mendakwa, serbuan tersebut merupakan cubaan terang-terangan untuk campur tangan dalam proses demokrasi negara itu. - Agensi