awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
APG 2025: Malaysia perlu 29 pingat lagi untuk capai sasaran
Jururawat Melayu suap makan kepada pesakit India dapat pengiktirafan KKM
Pan-gon harap insiden kad merah matangkan Harith Haiqal
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Ejen Persekutuan AS tembak mati lelaki warga tempatan di Minneapolis, cetus protes baharu

Agensi
Agensi
24/01/2026
22:50 MYT
Ejen Persekutuan AS tembak mati lelaki warga tempatan di Minneapolis, cetus protes baharu
Pegawai imigresen Persekutuan menggunakan semburan lada terhadap penunjuk perasaan susulan satu insiden tembakan pada Sabtu di Minneapolis. - Gambar AP
MINNEAPOLIS: Seorang lelaki berusia 37 tahun maut selepas ditembak Ejen Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di Minneapolis pada Sabtu, sekali gus mencetuskan protes dan desakan agar Presiden Donald Trump menarik balik pasukan bersenjata berat yang dikerahkan ke bandar itu.
Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara memaklumkan, lelaki terbabit - seorang warga AS dan penduduk Minneapolis meninggal dunia di hospital akibat beberapa kesan tembakan.
Identitinya belum didedahkan.
O’Hara menegaskan, pihaknya menuntut semua agensi Persekutuan yang kini beroperasi di Minneapolis bertindak dengan “disiplin, kemanusiaan dan integriti.”
Kejadian itu berlaku ketika ejen imigresen dan agensi persekutuan lain sudah berminggu-minggu menjalankan operasi menahan pendatang tanpa dokumen, selaras dengan agenda anti-imigresen pentadbiran Trump.
Gabenor Minnesota, Tim Walz menyifatkan, operasi itu “bukan lagi penguatkuasaan imigresen”, sebaliknya “kempen kekejaman tersusun” terhadap penduduk.
“Dan hari ini, kempen itu meragut satu lagi nyawa,” katanya.
Beliau turut mengesahkan kerajaan negeri akan memimpin siasatan penuh insiden berkenaan.
Rakaman video timbulkan persoalan
Video tular di media sosial menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa AS bergelut dengan mangsa sebelum beberapa das tembakan kedengaran.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mendakwa, seorang ejen US Border Patrol melepaskan tembakan selepas mendapati mangsa bersenjata pistol dan enggan menyerah diri.
Namun kumpulan penyiasat bebas Bellingcat menyatakan rakaman tersebut menunjukkan senjata mangsa telah dirampas sebelum tembakan pertama dilepaskan.
Kumpulan itu turut mendedahkan, sekurang-kurangnya dua ejen melepaskan tembakan lebih 10 das tembakan dan kedengaran majoriti tembakan berlaku selepas mangsa sudah tidak bergerak
Video dari sudut lain pula menunjukkan mangsa hanya memegang telefon bimbit sebelum disembur lada, ditangkap dan ditembak berulang kali.
O’Hara berkata, mangsa merupakan pemilik senjata berlesen.
Kematian itu bukan insiden pertama melibatkan Ejen Persekutuan di Minneapolis bulan ini.
Awal Januari, seorang wanita, Renee Nicole Good ditembak mati pegawai ICE ketika berada dalam kereta.
Minggu lalu, seorang lelaki warga Venezuela turut ditembak dalam kejadian berasingan.
Pentadbiran Trump mempertahankan operasi besar-besaran ini sebagai sebahagian daripada rancangan deportasi terbesar dalam sejarah AS.
Namun pemimpin komuniti dan penduduk menegaskan, kehadiran ejen bersenjata berat itu hanya menambah ketakutan dan ketidaktenteraman.
Datuk Bandar persoal ketelusan operasi
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey yang tampil bersama Ketua Polis O’Hara mengecam tindakan pentadbiran Trump.
“Saya melihat video lebih enam ejen bertopeng memukul seorang penduduk dan menembaknya hingga mati. Berapa ramai lagi penduduk Minneapolis perlu mati sebelum operasi ini dihentikan?” soal beliau.
Senator Minnesota, Amy Klobuchar, turut mendesak: “Keluarkan ICE dari negeri kami sekarang.”
Trump kemudiannya membalas di Truth Social, melabel Walz dan Frey sebagai “ahli politik hipokrit” dan menuduh mereka “menghasut” melalui kenyataan mereka.
Pihak berkuasa gesa bertenang
Kerajaan bandar Minneapolis menggesa penduduk menjauhi kawasan insiden dan mengekalkan ketenangan.
Gabenor Walz berkata, kerajaan negeri dan bandar sedang melakukan segala usaha untuk meredakan ketegangan.
Protes bagaimanapun terus berlaku berhampiran lokasi kejadian, dengan gas pemedih mata dilihat dilepaskan dalam kawasan yang dipenuhi anggota keselamatan.
Laporan dari Washington DC menyifatkan Minneapolis kini sebagai “tinderbox” - kota yang sangat mudah meledak dengan konflik susulan ketegangan antara kerajaan negeri dan pentadbiran persekutuan.
Pada Jumaat, ribuan orang berarak membantah operasi ICE, manakala ratusan premis perniagaan menutup operasi sebagai tanda solidariti. - Agensi
Topic Berkaitan
#Ejen Persekutuan AS
#Minneapolis
#protes
#warga tempatan mati
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan