Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ekonomi bukan minyak Arab Saudi pacu transformasi kerajaan

[TB]_Arab Saudi_BERNAMA
Sedekad selepas pelancaran "Wawasan 2030" Arab Saudi, indeks pelaburan, pelancongan, pekerjaan dan peranan sektor swasta yang semakin berkembang mencerminkan kemajuan ketara dalam membina ekonomi negara itu yang lebih pelbagai dan lebih bersedia untuk menghadapi perubahan global. - Gambar hiasan/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran tenaga dan perdagangan serta peningkatan kos penghantaran dan insurans di peringkat serantau akibat konflik dan perang di Asia Barat, sektor bukan minyak Arab Saudi terus menunjukkan daya tahan, mencerminkan asas yang semakin meluas dan kepelbagaian pemacu ekonomi.

Sedekad selepas pelancaran "Wawasan 2030" Arab Saudi, indeks pelaburan, pelancongan, pekerjaan dan peranan sektor swasta yang semakin berkembang mencerminkan kemajuan ketara dalam membina ekonomi negara itu yang lebih pelbagai dan lebih bersedia untuk menghadapi perubahan global.

Portal sebuah akhbar tempatan berbahasa Arab negara itu, “Al-Nahar”, melaporkan, ketika ambang Hari Kebangsaan Arab Saudi pada 23 Sept, 2026, kerajaan telah pun memulakan satu daripada  transformasi ekonomi paling meluas dalam sejarah moden negara itu.

Kepentingan perubahan ini diserlahkan dalam data untuk suku kedua tahun 2026, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar menguncup sebanyak 4.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh penurunan 24.8 peratus dalam aktiviti minyak.

Bagaimanapun, aktiviti bukan minyak dan aktiviti kerajaan masing-masing meningkat sebanyak 0.9 peratus,sekali gus  membantu mengurangkan kesan penurunan sumbangan minyak terhadap keseluruhan ekonomi.

Kepelbagaian ekonomi tidak bermakna meninggalkan minyak, yang akan kekal sebagai sumber strategik, sumber pendapatan dan pelaburan yang penting.

Sebaliknya, ia bertujuan memanfaatkan hasil minyak dan kepakaran kerajaan untuk mewujudkan sektor baharu, mengembangkan peluang pekerjaan, dan meningkatkan kapasiti ekonomi bagi pertumbuhan merentasi pelbagai sektor.

Ekonomi Saudi memasuki tahun 2026 dengan kukuh, setelah berkembang sebanyak 4.6 peratus pada tahun 2025. 

Menurut laporan "Wawasan 2030 Arab Saudi", sektor bukan minyak menyumbang kira-kira 55 peratus daripada KDNK, mencapai pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus, manakala sumbangan sektor swasta meningkat kepada sekitar 51 peratus.

Hasil transformasi ini terbukti dalam sektor-sektor yang kini lebih menonjol dalam landskap ekonomi.

Pada suku kedua tahun 2026, perkhidmatan komuniti, sosial dan individu meningkat sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun, manakala perkhidmatan kewangan, insurans dan perniagaan berkembang sebanyak 3.3 peratus.

Hal ini menunjukkan bahawa sumber pertumbuhan tidak lagi terhad kepada tenaga dan projek kerajaan utama, tetapi kini meliputi perkhidmatan kewangan, profesional dan sosial, serta aktiviti yang berkaitan secara langsung dengan kehidupan penduduk dan perniagaan.

Kepelbagaian ini membolehkan pengagihan aktiviti ekonomi yang lebih luas serta membuka peluang baharu untuk pelabur, usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selari dengan pembangunan infrastruktur digital dan logistik.

Sektor pelancongan memberikan contoh yang jelas tentang pengembangan ekonomi baharu dengan mencatatkan kira-kira 123 juta lawatan pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun 2025, termasuk 29.3 juta lawatan antarabangsa dan 93.3 juta lawatan domestik.

Jumlah perbelanjaan sector pelancongan mencecah SAR303.7 bilion (kira-kira AS$81 bilion), dengan SAR176.6 bilion (kira-kira AS$47.1 bilion) dibelanjakan oleh pelawat dari luar negara dan SAR127.1 bilion (kira-kira AS$33.9 bilion) oleh pelancong domestik.

Nilai ekonomi pelancongan yang melangkaui perbelanjaan pelawat, memberi kesan kepada hotel, restoran, penerbangan, pengangkutan, perniagaan runcit, acara, budaya dan hiburan.

Kesalinghubungan ini membantu mewujudkan pekerjaan, merangsang perniagaan dan mengagihkan faedah pertumbuhan di seluruh wilayah Arab Saudi.

Transformasi ini juga dapat dilihat dalam pasaran buruh, dengan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Arab Saudi menurun daripada 12.3 peratus pada tahun 2016 kepada 7.2 peratus menjelang akhir tahun 2025, menghampiri sasaran Wawasan 2030 sebanyak tujuh peratus.

Ini mencerminkan pengembangan peluang pekerjaan, peningkatan penyertaan rakyat negeri itu dalam sektor swasta dan pertumbuhan sektor yang sebelum ini bukan sumber pekerjaan utama.

Arab Saudi memasuki fasa seterusnya dengan asas ekonomi yang lebih luas, memandangkan dasar-dasarnya bertujuan untuk meningkatkan produktiviti syarikat, membangunkan eksport bernilai tambah, meningkatkan pembuatan dan teknologi, memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta meluaskan penyertaan modal swasta dalam projek.

Negara pengeluar minyak utama dunia itu pada hakikatnya tidak membina sektor berasingan di sekitar ekonomi minyak, tetapi sebaliknya berusaha mengubah keupayaan kewangan, manusia dan geografi menjadi sistem ekonomi yang saling berkaitan.

Ia bukan lagi tentang kepelbagaian yang telah bermula, tetapi tentang bagaimana mempercepatkan hasilnya dan memastikan kelestariannya.

Dengan pelaburan berterusan dalam modal insan, infrastruktur dan teknologi, Kerajaan Arab Saudi kelihatan semakin dekat dengan ekonomi yang pelbagai, menggabungkan kekuatan sektor tenaga dengan peluang yang semakin meningkat dalam pelancongan, industri, perkhidmatan dan inovasi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement