Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ekonomi Gaza masuk 'krisis paling kritikal dalam rekod' dunia - Laporan PBB

Palestinians walk amid war-damaged buildings in Gaza City, Wednesday, Sept. 23, 2026. (AP Photo/Jehad Alshrafi)
(Foto AP)
Advertisement

GENEVA: Ekonomi Gaza telah memasuki "krisis paling kritikal dalam rekod" dunia, dengan keperluan pemulihan dan pembinaan semula mencecah US$71.5 bilion di tengah-tengah kemusnahan meluas keupayaan produktif, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan  Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) memaklumkan bahawa penilaian itu dibuat berdasarkan penurunan kemuncak ke paras terendah dalam Keluaran Dalam  Negara Kasar (KDNK) sebenar per kapita serta jangkaan tempoh pemulihan.

KDNK sebenar per kapita tahunan Gaza berada pada paras hanya $212, atau $0.58 sehari pada 2025, bersamaan hanya 17 peratus daripada paras 2022 yang sememangnya sedia rendah.

Operasi ketenteraan Israel sejak Oktober 2023 menyebabkan 92 peratus premis ekonomi Gaza rosak atau musnah, "sekali gus menghentikan aktiviti produktif secara hampir menyeluruh di semua sektor," menurut laporan itu.

Hasil pengeluaran pertanian dan perindustrian masing-masing merosot 94 peratus berbanding 2022, manakala output pembinaan merosot mendadak sebanyak 99 peratus.

Pasaran tenaga kerja turut terjejas teruk, menurut laporan itu, dengan hanya 123,300 penduduk Gaza bekerja pada 2025, menyebabkan lebih 90 peratus penduduk dalam umur bekerja hilang pekerjaan.

Harga barangan di Gaza kekal 274 peratus di atas paras 2022 pada tahun 2025, dengan harga makanan "melambung tinggi." Harga ubi kentang contohnya, melonjak lebih 20 kali ganda berbanding paras sebelum konflik.

Kerosakan infrastruktur fizikal dianggarkan berjumlah US$35.2 bilion, iaitu lebih 2.5 kali ganda KDNK sebenar Gaza dan Tebing Barat digabungkan sebelum konflik, di samping kerugian ekonomi dan sosial sebanyak US$22.7 bilion.

UNCTAD menyatakan jumlah keperluan pemulihan dan pembinaan semula mencecah US$71.5 bilion menjelang awal 2026 dan "akan terus meningkat sehingga satu gencatan senjata yang mampan dicapai."

Sumbangan Gaza kepada ekonomi Palestin merosot di bawah empat peratus menjelang 2025, manakala KDNK per kapita berada pada paras hanya lima peratus daripada paras di Tebing Barat yang diduduki, berbanding kedudukan yang hampir seimbang tiga dekad lepas.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement