Skip to main content

Dunia

Ekonomi Indonesia dalam fasa pengembangan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global

 Purbaya Yudhi Sadewa
Purbaya berkata Indonesia telah memperoleh pengalaman berharga dalam menangani kejutan ekonomi, termasuk krisis kewangan 1998, krisis kewangan global 2008 dan pandemik COVID-19 pada 2020. - Facebook Purbaya Yudhi Sadewa

JAKARTA: Ekonomi Indonesia kekal dalam fasa pengembangan meskipun pasaran saham dan mata wang negara itu melemah baru-baru ini, kata Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa.

Beliau berkata kerajaan dalam hal ini akan terus melindungi kuasa beli rakyat dan mengekalkan momentum ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran.

Advertisement

“Ekonomi kita sedang berkembang. Kita sedang melakukan segala yang terdaya untuk melindungi kuasa beli. Apatah lagi ketika krisis, kita bahkan belum mengalami kemelesetan, malah tidak mengalami kelembapan ekonomi.

“Kita masih berkembang, masih mempercepatkan pertumbuhan. Itulah yang akan kita terus lindungi dalam beberapa minggu akan datang,” kata beliau yang dipetik oleh agensi berita kerajaan Antara, pada Isnin.

Antara melaporkan Indeks Komposit Jakarta (IHSG) penanda aras bursa saham Indonesia ditutup lebih rendah pada petang Isnin, merosot 248.32 mata atau 3.27 peratus kepada 7,337.37.

Sementara itu, indeks LQ45, yang menjejak 45 saham utama, susut 25.47 mata atau 3.28 peratus kepada 750.57.

Mata wang Rupiah turut melemah sebanyak 24 mata kepada Rp16,949 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS), berbanding Rp16,925 ketika ditutup sebelumnya, selepas jatuh sehingga 70 mata sepanjang dagangan hari itu.

Purbaya berkata Indonesia telah memperoleh pengalaman berharga dalam menangani kejutan ekonomi, termasuk krisis kewangan 1998, krisis kewangan global 2008 dan pandemik COVID-19 pada 2020.

Dengan pengalaman seperti itu, kerajaan yakin ia boleh menyediakan langkah-langkah mitigasi terhadap kemungkinan ketidaktentuan ekonomi.

“Pelabur di pasaran saham tidak perlu bimbang. Kita sedang menjaga asas ekonomi. Berdasarkan pengalaman pada 2008 dan 2020, kita berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya sambil menambah kuasa beli rakyat kekal terjamin dan ekonomi masih jauh daripada krisis.

Mengenai kemungkinan tekanan ekonomi yang berpunca daripada konflik melibatkan Iran, AS dan Israel, Purbaya berkata kerajaan akan mengguna pakai dasar untuk menampan impak sekiranya harga minyak global melonjak melebihi paras yang diunjurkan dalam Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN).

“APBN akan disediakan sebaik mungkin untuk berfungsi sebagai penyerap kejutan terhadap ketidaktentuan ekonomi,” katanya.

Purbaya berkata kerajaan juga pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan harga bahan api bersubsidi, dengan menyatakan kapasiti fiskal masih mencukupi untuk menyerap tekanan semasa.

-- BERNAMA

Must Watch Video