PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menonton persembahan "Winds of Glory: AM:PM Amir Masdi dan SP Winds in Concert”, malam ini.
Ketibaan Anwar kira-kira 8 malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim di sini.
Advertisement
Konsert yang bertemakan ‘Rockestra’ itu diadakan dengan kolaborasi artis tanah air Amir Masdi dan pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP), iaitu Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds).
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), konsert berkenaan bukan sahaja menjadi platform pendedahan SPWinds kepada standard muzik profesional, malah merupakan langkah penting dalam persediaan mereka bagi menyertai World Music Contest (WMC) 2026, di Belanda pada Julai ini.
Konsert amal anjuran Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSP itu juga bertujuan mengumpul dana bagi program di Belanda kelak.
Penganjuran konsert itu melambangkan sokongan padu ibu bapa dan komuniti dalam memperkasakan pembangunan bakat murid, di samping memastikan kelestarian orkestra sekolah sebagai platform kecemerlangan seni muzik.
Untuk rekod, pasukan orkestra SPWinds pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila merangkul Anugerah Emas pada Festival Orkestra Dunia ke-11, yang berlangsung di Vienna, Austria dari 23 hingga 26 Julai tahun lepas.
Sementara itu, SSP dalam kenyataan memaklumkan, penglibatan Amir mengukuhkan visi artistik sekolah berkenaan dalam persediaan ke arah platform antarabangsa pada masa hadapan, dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti melalui KSIB dan PIBG.
"Kerjasama ini menandakan komitmen berterusan SPWinds dalam menjadikan seni muzik sebagai wahana pendidikan berimpak tinggi, sekali gus mengangkat kemenjadian murid sebagai teras utama kejayaan," menurut SSP.
-- BERNAMA