Skip to main content

Malaysia

Dakwaan seleweng dana NGO RM230 juta: Kerajaan digesa perketat peraturan - Lee

KUALA LUMPUR, June 8 -- Secretary General of Ministry of Women, Family and Community Development Datuk Dr Maziah Che Yusoff (centre) giving a certificate of appreciation to the Alliance for a Safe Community founder and chairman Tan Sri Lee Lam Thye (right) during the Living Your Golden Years Ordinary People Living Extraordinary Lives Conference and Exhibition at Kuala Lumpur Craft Complex today.  Also present Founding President of Third Age Media Association Cheah Tuck Wing (left).  --fotoBERNAMA (2024) COP
Lee juga mencadangkan kajian dan penggubalan undang-undang khusus bagi mengawal selia operasi NGO, terutamanya berkaitan kutipan dan penggunaan dana awam, bagi melindungi kepentingan penderma dan penerima manfaat. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera untuk mengetatkan lagi peraturan dan membendung salah laku dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) susulan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan berjumlah kira-kira RM230 juta yang melibatkan sebuah NGO.

Aktivis sosial yang juga pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata pembaharuan padu penting bagi memastikan sektor NGO terus dipercayai, dihormati dan dapat memberikan khidmat yang berkesan kepada masyarakat.

Advertisement

Beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan garis panduan lebih ketat yang mengawal selia kutipan, pengurusan dan penggunaan derma awam oleh NGO, dengan disokong oleh mekanisme pemantauan yang mantap dan berterusan.

"Semua NGO yang mengumpul dana awam mesti dikehendaki menghasilkan penyata kewangan yang diaudit secara berkala dan mudah diakses oleh orang ramai bagi memastikan ketelusan sepenuhnya.

"(Kerajaan) juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan badan kawal selia khusus, atau memperkukuhkan institusi sedia ada untuk menyelia aktiviti NGO, terutamanya berkaitan pengumpulan dana awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mencadangkan kajian dan penggubalan undang-undang khusus bagi mengawal selia operasi NGO, terutamanya berkaitan kutipan dan penggunaan dana awam, bagi melindungi kepentingan penderma dan penerima manfaat.

Mana-mana individu atau organisasi yang didapati bersalah menyalahgunakan dana awam mesti dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai pencegahan dan juga untuk menegakkan keadilan, kata Lee.

Mengenai dakwaan penyelewengan dana baru-baru ini, beliau berkata insiden itu bukan sahaja mencemarkan imej NGO secara keseluruhannya tetapi juga menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sumbangan derma.

"Pelanggaran amanah ini bukan sahaja merupakan pengkhianatan terhadap penderma tetapi juga ketidakadilan yang serius terhadap penerima manfaat.

"Jika isu ini tidak ditangani dengan tegas dan telus, ia mungkin akan menghalang orang ramai daripada memberi sumbangan kepada usaha kemanusiaan yang sebenar, yang akhirnya menjejaskan kumpulan yang paling rentan dalam masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video