CHIANG MAI: Eksport Thailand dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan yang perlahan antara tiga dan lima peratus pada tahun ini berbanding 16 peratus pada tahun lepas, kata Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Thailand Dr Visit Limlurcha.

Beliau menjelaskan kadar pertumbuhan yang perlahan pada tahun ini sebahagian besarnya disebabkan banyak negara di seluruh dunia telah menyediakan stok mereka pada tahun lepas.

"Pada tahun lepas, kita mempunyai banyak masalah di dunia, kita mempunyai konflik Rusia-Ukraine dan itu menyebabkan dunia bimbang mengenai keselamatan makanan -- justeru, banyak negara mengimport lebih banyak stok.

"Selain itu, kita baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19. Pada tahun lepas, banyak restoran, hotel dan sektor perkhidmatan dibuka dan mereka memerlukan banyak produk segar.

"Eksport makanan kami terutamanya produk segar kembali hampir kepada paras sebelum pandemik yang biasa pada tahun lepas dan saya berpendapat pada tahun ini, kami masih boleh mengeksport lebih banyak produk segar berikutan sektor perkhidmatan kini telah dibuka dan orang ramai boleh makan di restoran," katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat kadar pertumbuhan hampir normal berikutan lima hingga enam tahun lepas, kadar pertumbuhan eksport makanan adalah kira-kira dua hingga lima peratus setiap tahun.

Katanya faktor penyumbang lain untuk kadar pertumbuhan yang perlahan pada tahun ini ialah kelembapan ekonomi global berikutan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

"Inflasi mendorong kenaikan harga makanan. Oleh itu, pengguna menukar tata laku membeli-belah mereka, bukan sahaja apa yang hendak dibeli tetapi bagaimana membeli dengan lebih mengambil kira bajet.

"Mengenai perkara ini, beberapa produk domestik lebih berdaya saing berbanding produk import," katanya.

Pada 2022, Thailand mengeksport makanan bernilai AS$44 bilion ke pasaran global dengan kadar pertumbuhan 11 peratus tahun ke tahun.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, Thailand mengeksport AS$6 bilion dengan pertumbuhan 6.4 peratus tahun ke tahun pada nisbah 55 peratus untuk makanan diproses dan 45 peratus makanan pertanian.

Lima produk eksport utama ialah beras bernilai US$750 juta, produk ubi kayu AS$730 juta, gula dan molases AS$690 juta, produk ayam AS$660 juta serta makanan laut dalam tin dan diproses AS$550 juta.

-- BERNAMA