WIESBADEN:Empat beradik di Jerman memanfaatkan tempoh 'lockdown' di negara itu dengan mencipta sebuah papan permainan yang diberi nama 'Corona'.

Corona boleh dimainkan oleh empat pemain yang berlumba memenuhi senarai barangan keperluan untuk jiran yang telah berusia kerana perlu berlindung di dalam rumah sepanjang pandemik.


Pemenang ialah pemain yang terlebih dahulu menyelesaikan misi dengan menghantar semua barangan yang diperlukan.

Bagaimanapun, ada cabaran yang perlu dibolosi pemain, antaranya berdepan dengan virus yang akhirnya akan dikenakan kuarantin.

"Asas permainan ini ialah solidariti.

"Setiap pemain boleh memutuskan untuk bekerjasama atau menjadikan permainan ini menjadi lebih mencabar," kata Sarah kepada Reuters TV.

Keempat-empat mereka sebelum ini mula mencipta Corona sepanjang tempoh berkurung dengan menambah elemen-elemen permainan baharu yang diuar-uarkan di berita.

Dalam pada itu, keterujaan bapa kepada empat beradik ini membuatkan Benedikt Schwaderlapp menjadikan permainan itu lebih komersial dengan mengupah pereka untuk mereka bentuk kad, kotak dan papan permainan.

Setakat ini, sebanyak 2,000 unit telah berjaya dijual selain mereka turut menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat permainan sebagai pengedar.

"Disebabkan Corona kini semakin popular, cabaran kami agak besar kerana perlu membungkus dan menghantar sekurang-kurangnya 500 unit dalam masa yang singkat.

"Permintaan begitu menggalakkan dari serata Jerman," katanya.