Skip to main content

Dunia

Ketua pegawai eksekutif syarikat hartanah Toronto, keluarga cedera dalam serangan pecah masuk bersenjata

Anggota polis mengawal kawasan kediaman di Toronto selepas seorang ketua pegawai eksekutif Kanada dan dua anak perempuannya ditembak, manakala isterinya dipukul dengan tukul dalam kejadian pecah masuk bersenjata di sebuah rumah mewah. - Foto X/RT
Anggota polis mengawal kawasan kediaman di Toronto selepas seorang ketua pegawai eksekutif Kanada dan dua anak perempuannya ditembak, manakala isterinya dipukul dengan tukul dalam kejadian pecah masuk bersenjata di sebuah rumah mewah. - Foto X/RT

Advertisement

Advertisement

TORONTO: Polis Toronto melancarkan operasi memburu suspek selepas seorang eksekutif kanan syarikat hartanah bersama keluarganya menjadi mangsa serangan ganas dalam kejadian pecah masuk di kediaman mereka di kawasan mewah Bridle Path, Toronto, awal pagi Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Mac Group, Derek Morton, mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan, sambil menyifatkannya sebagai pengalaman yang tidak sepatutnya dilalui oleh mana-mana keluarga.

“Tiada keluarga yang sepatutnya mengalami perkara seperti ini,” katanya.

Advertisement

Menurut Morton, keluarganya masih berdepan trauma susulan kejadian ngeri yang berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi lokasi paling selamat, iaitu rumah sendiri.

Polis Toronto berkata suspek yang memasuki kediaman berkenaan menuntut barangan berharga sebelum menyerang ahli keluarga terbabit dan melarikan diri menaiki sebuah kenderaan.

Advertisement

Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti suspek, namun percaya mereka terdiri daripada tiga lelaki berusia dalam lingkungan 20-an.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.44 pagi waktu tempatan apabila suspek memasuki rumah tersebut melalui pintu belakang sebelum bersemuka dengan penghuni kediaman.

Menurut polis, suspek melepaskan beberapa das tembakan yang menyebabkan seorang lelaki dan dua anak perempuannya cedera akibat terkena tembakan, manakala isteri mangsa dipukul di kepala menggunakan tukul besi.

“Dua individu bertopeng menceroboh masuk ke rumah kami bersama seorang lagi suspek, bersenjatakan pistol dan tukul.

“Dalam serangan itu, tiga ahli keluarga kami ditembak dan kini menerima rawatan di hospital. Keempat-empat ahli keluarga turut diserang menggunakan tukul sehingga memerlukan rawatan kecemasan,” kata Morton.

Walaupun Morton tidak mendedahkan identiti ahli keluarganya, media tempatan melaporkan dua anak perempuannya, Cristina dan Maggie, terkena tembakan, manakala isterinya, Doriana Zohil-Morton, mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dengan tukul.

Polis memaklumkan dua mangsa masih menerima rawatan di hospital.

Pihak berkuasa tidak menamakan mangsa tetapi menyatakan mereka masing-masing berusia 75, 64, 28 dan 26 tahun.

Polis percaya keluarga itu menjadi sasaran kerana mereka tinggal di kawasan kejiranan yang kaya.

“Biasanya kawasan kejiranan mewah mempunyai banyak barangan bernilai dan sentiasa ada pihak yang mahu mendapatkannya,” kata Inspektor Kristy Smith kepada pemberita.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada suspek berjaya melarikan sebarang harta benda, selain usaha mengumpul kelongsong peluru yang ditemui di lokasi bagi membantu mengenal pasti pelaku.

Bridle Path merupakan antara kawasan kediaman paling eksklusif di Kanada dan pernah menjadi tempat tinggal beberapa selebriti terkenal termasuk penyanyi Drake dan Celine Dion.

Menurut statistik polis, kes pecah masuk rumah di Toronto menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini, menyebabkan sebahagian penduduk mengambil langkah mempertingkatkan sistem keselamatan kediaman masing-masing.

Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow, menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.

“Serangan ini sudah tentu menggoncang penduduk kejiranan tersebut dan ramai warga Toronto. Keganasan seperti ini tidak boleh diterima di bandar kita. Orang ramai mesti berasa selamat di rumah sendiri,” katanya menerusi media sosial.

Ketua pembangkang Konservatif, Pierre Poilievre, turut menyifatkan kejadian itu sebagai “mengerikan” dan menggesa pihak bertanggungjawab segera ditahan serta dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Polis Toronto, Myron Demkiw, berkata rondaan polis akan dipertingkatkan di kawasan Bridle Path dalam beberapa hari akan datang.

Menurutnya, pihak polis juga akan terus menyalurkan sumber tambahan dan melaksanakan langkah strategik bagi menangani peningkatan kes pecah masuk rumah serta menjamin keselamatan komuniti setempat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement