SEPANG: Pelumba Sepanyol Marc Marquez mendominasi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas mencatat masa terpantas pada sesi latihan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di sini semalam.
Pelumba pasukan Ducati Lenovo itu mencatat masa satu minit 57.000 saat (s) untuk mendahului sesi berkenaan, diikuti adiknya Alex Marquez daripada pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP di tempat kedua (1:57.109s) manakala pelumba Jepun Ai Ogura daripada pasukan SuperFile Trackhouse MotoGP Team di tempat ketiga (1:57.167s).
Marquez berkata beliau berpuas hati dengan prestasi motosikalnya sejak pusingan pertama, sekali gus membolehkannya meningkatkan kelajuan sepanjang sesi berkenaan meskipun mengalami kemalangan kecil di selekoh ke-15.
“Hari ini, sejak pusingan pertama, saya sudah mendapat keserasian yang baik dengan motosikal. Kemudian, penggunaan tayar belakang jenis sederhana juga memberikan keselesaan yang baik.
“Pada sebelah petang, selain terjatuh sedikit di selekoh ke-15 ketika saya mengambil risiko lebih tinggi, selebihnya berjalan dengan sempurna,” katanya pada sesi bersama media selepas perlumbaan di SIC di sini semalam.
Pelumba Sepanyol itu berkata pendekatannya kepada perlumbaan menjadi lebih agresif sejak beberapa minggu kebelakangan ini kerana beliau semakin selesa mengambil risiko, selain mengakui keadaan fizikalnya juga bertambah baik.
Dalam kategori Moto2, pelumba Sepanyol Manuel Gonzalez daripada pasukan LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP mencatat masa terpantas 2:03.737s untuk mendahului sesi latihan, diikuti rakan senegaranya Alonso Lopez daripada pasukan ITALJET Gresini Moto2 di tempat kedua (2:03.881s).
Sementara itu, Daniel Holgado daripada pasukan CFMOTO RCB Aspar Team menduduki tempat ketiga (2:03.943s).
Terdahulu, pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI menamatkan sesi latihan di tempat keempat untuk mengesahkan slot ke sesi kelayakan kedua Moto3 (Q2) selepas mencatat masa 2:11.573s, sekali gus memperbaiki catatan 2:11.834s yang dilakukannya pada sesi latihan bebas pertama.
-- BERNAMA