Skip to main content

Sukan

ACT 2026: Speedy Tigers kekal rekod bersih, benam Bangladesh 6-1

Skuad hoki lelaki negara membelasah Bangladesh 6-1 dalam ACT 2026, mengekalkan rekod sempurna tiga kemenangan berturut-turut. - Foto Malaysian Hockey Confederation
Skuad hoki lelaki negara membelasah Bangladesh 6-1 dalam ACT 2026, mengekalkan rekod sempurna tiga kemenangan berturut-turut. - Foto Malaysian Hockey Confederation

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak cemerlang apabila membelasah Bangladesh 6-1 pada perlawanan ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 di Punjab, India semalam.

Penyerang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mencuri tumpuan pada aksi di Stadium Hoki Olimpian Surjit Singh apabila meledak dua gol pada minit ke-14 menerusi jaringan padang sebelum menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Bangladesh berjaya merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Amirul Islam pada minit ke-26, namun Malaysia kembali melebarkan kelebihan tiga minit kemudian apabila Akhimullah Anuar Esook menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Advertisement

Malaysia terus menambah derita Bangladesh dengan meledak dua lagi gol dalam masa seminit menerusi pukulan sudut penalti Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-32, diikuti jaringan padang yang disumbangkan Shello Silverius untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 5-1.

Nik Aiman Nik Rozemi melengkapkan pesta gol Speedy Tigers menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-50 untuk mengesahkan kemenangan 6-1, sekali gus mengekalkan rekod bersih dengan tiga kemenangan berturut-turut setakat ini.

Advertisement

Pasukan kendalian Brendon Carolan sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan 5-4 ke atas China sebelum menundukkan Korea Selatan 3-1.

Skuad Speedy Tigers akan meneruskan cabaran menentang tuan rumah India pada 1 Nov sebelum menutup aksi pusingan round robin menentang Jepun sehari kemudian.

Hanya empat pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement