CHIBA: Empat individu maut manakala seorang lagi masih tidak sedarkan diri ketika hujan lebat melanda timur Jepun pada Khamis dan berterusan hingga awal Jumaat, dengan agensi cuaca mengeluarkan amaran Tahap 5, tahap tertinggi bagi hujan lebat di lebih satu pertiga kawasan perbandaran di Wilayah Chiba berhampiran Tokyo.
Jalan raya di seluruh wilayah itu dinaiki air, manakala bandar Chiba dan Ichikawa antara pihak berkuasa tempatan yang menggesa penduduk supaya segera mengambil langkah keselamatan, lapor Kyodo News.
Agensi Meteorologi Jepun turut mengeluarkan amaran tanah runtuh Tahap 5 bagi beberapa kawasan perbandaran di wilayah itu, termasuk Chiba dan Ichihara yang bersebelahan. Semua amaran berkenaan diturunkan ke tahap lebih rendah pada pagi Jumaat.
Hujan lebat dijangka berterusan di Chiba dan kawasan berhampiran sepanjang Jumaat.
Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana, arahan pemindahan pada satu ketika dikeluarkan untuk lebih 400,000 penduduk di wilayah Chiba dan Ibaraki.
Setakat 7 pagi Jumaat, arahan pemindahan masih berkuat kuasa membabitkan kira-kira 126,000 penduduk di kedua-dua wilayah itu, menurut agensi berkenaan.
Lebih 200 pusat pemindahan dibuka di wilayah Chiba dan Ibaraki serta Saitama dan Gunma, menurut Pejabat Kabinet.
Kira-kira 1,800 orang berkumpul di bangunan kerajaan wilayah yang dibuka untuk menempatkan penumpang terkandas.
Di Wad Chuo, Chiba, taburan hujan dalam tempoh sejam mencecah 115 milimeter pada Khamis malam, hampir menyamai jumlah taburan hujan bulanan kawasan itu bagi Ogos pada tahun biasa.
Gangguan bekalan elektrik pada satu ketika menjejaskan kira-kira 45,000 kediaman di Wilayah Chiba, menurut anak syarikat Tokyo Electric Power Company Holdings Inc.
-- BERNAMA-KYODO