OTTAWA: Enam warga Sri Lanka, termasuk seorang ibu dan empat anak kecil, mati ditikam di ibu kota Kanada, Ottawa pada lewat Rabu (6 Mac), kata polis tempatan pada Khamis.

Kejadian itu menggemparkan seluruh negara kerana jarang berlaku pembunuhan beramai-ramai seperti yang terjadi kelmarin.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, beliau sangat terkejut dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai "tragedi yang dahsyat."

Menurut laporan media, seorang lelaki iaitu ketua keluarga yang menjadi mangsa serangan itu juga cedera dan kini sedang dirawat di hospital.

Polis berkata, seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun dari Sri Lanka, Febrio De-Zoysa telah ditangkap dan didakwa dengan enam pertuduhan membunuh tahap pertama dan satu pertuduhan cubaan membunuh.

De-Zoysa mengenali keluarga itu dan telah tinggal di rumah berkenaan, kata polis.

Mangsa yang maut ialah seorang wanita berusia 35 tahun dan anak-anaknya berusia antara dua bulan hingga tujuh tahun serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan kenalan keluarga berkenaan.

"Ini adalah satu tindakan keganasan yang tidak masuk akal yang dilakukan ke atas orang yang tidak bersalah," kata Ketua Polis Ottawa, Eric Stubbs pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.

Polis berkata, mereka tidak pernah berurusan dengan suspek atau keluarga sebelum ini.

Datuk Bandar Ottawa, Mark Sutcliffe, dalam catatan media sosial pula berkata, ia merupakan "salah satu insiden keganasan yang paling mengejutkan dalam sejarah bandar kita."

Ottawa, yang mempunyai populasi 1 juta, menyaksikan 14 pembunuhan pada 2023 dan 15 pada 2022.

Mangsa dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lalu ditemukan di dalam sebuah rumah di pinggir barat daya Barrhaven.

Polis tiba di tempat kejadian berikutan panggilan kecemasan yang diterima.

Pembunuhan besar-besaran di Kanada jarang berlaku.

Pada Disember 2022, seorang lelaki menembak lima orang di pinggir bandar Toronto sebelum ditembak mati oleh polis.

Pada September tahun itu, seorang lelaki menikam dan membunuh 11 orang di wilayah barat Saskatchewan.

Suspek meninggal dunia sejurus selepas ditangkap akibat pengambilan dadah yang berlebihan. - Reuters