Ringkasan AI
- Kerajaan England akan melarang murid membawa telefon bimbit sepanjang waktu persekolahan bermula September 2027 di bawah garis panduan baharu.
- Sekolah diberi fleksibiliti melaksanakan larangan, termasuk penggunaan loker keselamatan atau pengumpulan telefon pada awal hari persekolahan.
- Pihak sekolah memberi amaran pelaksanaan larangan ini memerlukan peruntukan kewangan tambahan daripada kerajaan untuk kemudahan penyimpanan selamat.
LONDON: Murid-murid di England akan dilarang membawa telefon bimbit sepanjang waktu persekolahan di bawah garis panduan kerajaan yang lebih ketat dan dijadualkan berkuat kuasa mulai September 2027, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Garis panduan yang disemak semula itu akan melangkaui dasar sedia ada iaitu “tidak kelihatan, tidak kedengaran” yang membenarkan murid menyimpan telefon bimbit di dalam beg selagi peranti itu tidak dilihat atau didengar.
Setiausaha Pendidikan Lucy Powell, memberitahu BBC bahawa “mesej jelas” kerajaan kepada ibu bapa dan murid ialah “sekolah merupakan tempat untuk belajar dan menjalin persahabatan, bukannya melayari telefon tanpa henti.”
Kerajaan berkata akses kepada telefon bimbit “berisiko mengalihkan perhatian kanak-kanak daripada pembelajaran dan interaksi sesama mereka.”
Sekolah akan diberikan fleksibiliti dalam melaksanakan penguatkuasaan termasuk menggunakan beg simpanan berkunci, loker keselamatan, mengumpulkan telefon bimbit pada awal hari persekolahan atau melarang peranti itu dibawa ke kawasan sekolah.
Bagaimanapun, pihak pengurusan sekolah memberi amaran bahawa pelaksanaan langkah lebih ketat itu memerlukan peruntukan kewangan tambahan daripada kerajaan.
Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Guru Besar (NAHT) Paul Whiteman berkata telefon bimbit boleh menimbulkan “isu keselamatan” dan menjadi “gangguan yang tidak membantu”, namun memberi amaran bahawa sekatan lebih ketat itu “akan melibatkan kos”.
Setiausaha Agung Persatuan Pemimpin Sekolah dan Kolej Pepe Di’Iasio pula berkata penyediaan kemudahan penyimpanan selamat untuk setiap murid akan menelan belanja yang besar.
“Perkara ini tidak dapat dilaksanakan melainkan kerajaan menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk menampung kos berkenaan,” katanya.
Setiausaha Pendidikan Bayangan Laura Trott menyambut baik larangan itu tetapi mengkritik apa yang disifatkannya sebagai kekurangan “penyelarasan menyeluruh” berhubung penggunaan teknologi yang diperkenalkan di dalam bilik darjah.
Garis panduan itu merupakan kesinambungan kepada peraturan berkanun yang berkuat kuasa pada Jun, yang menetapkan bahawa sekolah dan kumpulan sekolah bertanggungjawab memastikan persekitaran bebas telefon bimbit.
Dasar pendidikan merupakan bidang kuasa yang diturunkan kepada pentadbiran masing-masing, justeru pendekatan yang dilaksanakan berbeza di seluruh United Kingdom.
-- BERNAMA-ANADOLU