Ringkasan AI
- Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa dua kapal tangki minyak terbakar selepas letupan ketika melalui laluan tidak dibenarkan di Selat Hormuz.
- IRGC menyatakan kedua-dua kapal mematikan sistem navigasi sebelum insiden, dan memberi amaran tindakan serupa terhadap kapal yang bekerjasama dengan tentera AS.
- Nama kapal, negara bendera, dan keadaan anak kapal tidak didedahkan, sementara Selat Hormuz kekal sebagai laluan penting penghantaran minyak dunia.
ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa pada Selasa dua kapal tangki minyak terbakar selepas berlaku letupan ketika cuba melalui “laluan tidak dibenarkan” di Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim, Tentera Laut IRGC berkata kedua-dua kapal tangki itu telah dihentikan di koridor perkapalan yang dianggap “tidak dibenarkan”, sebelum berlaku letupan dan kebakaran besar.
Menurut kenyataan itu, sebuah daripada kapal yang merupakan kapal tangki minyak bersaiz sangat besar terkena periuk api laut sebelum meletup.
Kapal tangki kedua, yang menurut dakwaan IRGC menerima bantuan daripada pesawat pejuang tentera AS, mengalami kejadian yang tidak diperincikan ketika cuba melalui laluan larangan itu secara “rahsia”, menyebabkan kapal berkenaan terkandas dan terbakar.
Menurut Tentera Laut IRGC, kedua-dua kapal tangki itu telah mematikan sistem navigasi dan pengenalan masing-masing sebelum cuba melalui laluan berkenaan.
Kedua-dua kapal tangki itu dilaporkan terbakar berhampiran pesisir selatan selat berkenaan, menurut kenyataan itu.
Tentera Laut IRGC memberi amaran bahawa laluan tanpa kebenaran itu masih tidak selamat dan mengancam tindakan serupa terhadap kapal yang bekerjasama dengan tentera AS sekiranya cuba menggunakan laluan berkenaan.
Kenyataan itu tidak mengenal pasti nama kedua-dua kapal tangki, negara bendera atau pengendalinya, selain tidak memberikan maklumat mengenai kemungkinan kematian atau kecederaan serta keadaan anak kapal.
Tiada pengesahan segera daripada pihak tentera AS berhubung dakwaan penglibatan pesawat pejuang negara itu.
Pengumuman itu dibuat ketika insiden maritim berulang berlaku di Selat Hormuz, apabila Iran mengenakan sekatan terhadap perkapalan komersial susulan konfrontasi berterusannya dengan AS.
Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk dengan Teluk Oman merupakan laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia.
Trafik maritim melalui laluan perairan itu mengalami gangguan besar sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari, sekali gus mencetuskan konflik serantau serta pertikaian berpanjangan berhubung hak navigasi.
-- BERNAMA-ANADOLU