MOSCOW: Kesatuan Eropah telah membekukan aset Rusia bernilai 13.9 bilion euro (AS$14 bilion) sejak Rusia melaksanakan operasi ketenteraan di Ukraine, kata Pesuruhjaya Kehakiman EU Didier Reynders kepada Bloomberg, lapor Sputnik.

"Terdapat enam negara anggota yang melaksanakan ketetapan itu," kata Reynders pada Sabtu, sambil menambah bahawa Jerman, Perancis, Ireland, Austria, Belgium, dan Luxembourg telah membekukan sejumlah 12.7 bilion euro aset Rusia manakala negara lain memaklumkan bahawa pihaknya telah merampas sejumlah kecil aset milik Moscow.

Reynders juga berkata bahawa beliau turut meminta EU untuk mempertimbangkan cadangan mengenai mana-mana pelanggaran sekatan akan dianggap sebagai jenayah.

Cadangan itu akan membolehkan negara-negara Eropah bukan sahaja membekukan tetapi juga merampas aset, katanya.

Parlimen Eropah menyokong cadangan itu, dan negara-negara anggota dijangka melaksanakan peraturan baharu itu pada musim luruh, kata Reynders.

--BERNAMA