Skip to main content

Dunia

EU buka ruang Kanada jadi "anggota bersekutu" pertama - Presiden Suruhanjaya Eropah

EU's Von der Leyen urges energy independence amid Iran crisis
Ursula Von der Leyen mengemukakan cadangan itu sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk memperdalam kerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan dalam bidang strategik. - Reuters
Advertisement

BRUSSELS: Presiden Suruhanjaya Eropah pada Rabu membuka ruang kepada Kanada untuk menjadi "anggota bersekutu" pertama Kesatuan Eropah (EU), sambil menggesa pendekatan terhadap perkongsian blok itu dinilai semula secara menyeluruh susulan cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ketika berucap di Parlimen Eropah menerusi ucapan Kesatuan Eropah 2026, Ursula von der Leyen berkata Eropah perlu "segera merangka semula perkongsian kita" dan mencadangkan kerjasama dengan Perdana Menteri Kanada Mark Carney bagi membawa hubungan EU-Kanada "ke tahap setinggi mungkin."

"Saya ingin bekerjasama dengan anda untuk membuka ruang kepada Kanada menjadi anggota bersekutu pertama Kesatuan Eropah," katanya.

Von der Leyen mengemukakan cadangan itu sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk memperdalam kerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan dalam bidang strategik termasuk tenaga, mineral kritikal, bateri, kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, keselamatan siber dan keselamatan ekonomi.

Cadangan itu akan mewujudkan satu bentuk hubungan baharu antara EU dengan negara bukan anggota blok berkenaan, namun von der Leyen tidak memperincikan skop status "anggota bersekutu" atau bentuk aturan institusi yang diperlukan.

Von der Leyen berkata EU perlu memastikan akses kepada bahan mentah kritikal, memperkukuh kebebasan tenaga dan membangunkan keupayaannya sendiri dalam teknologi baharu, di samping bekerjasama dengan rakan kongsi yang dipercayai.

Beliau berkata Eropah memilih untuk mengambil haluan yang lebih bebas, dengan sebuah Eropah yang lebih kukuh sedang terbentuk dan lebih berkeupayaan untuk mempertahankan diri, menjamin bekalan tenaga serta melindungi kepentingan ekonominya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement