DUYONG: Kemenangan dengan majoriti hanya 200 undi pada 2021 menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong antara kerusi yang menarik perhatian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Penyandangnya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem kini mempertaruhkan rekod hampir lima tahun sebagai wakil rakyat, termasuk pendekatan kebajikan dan pembangunan setempat, bagi mempertahankan mandat.
Duyong bukan sekadar terkenal dengan sejarah Hang Tuah, malah turut dikaitkan dengan populariti Helmy di media sosial menerusi pendekatannya mendekati masyarakat.
Pembangunan dirasai, masalah setempat perlu diberi perhatian
Bagi Ab Karim A Rahim, 68, yang membesar di Duyong, perubahan pembangunan dan keselesaan hidup penduduk semakin dirasai sepanjang tempoh berkenaan.
“Alhamdulillah, nampak juga pembangunan dan keselesaan. Apa-apa pun kalau kita buat, adalah respons daripada pihak sekarang.
“Setakat yang kita pandang selama lima tahun ini, memang 100 peratus. Helmy ini terbaik. Itu saja,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Bagaimanapun, peniaga cincin, Ammar Hedzir, 33, berpandangan beberapa masalah setempat masih memerlukan perhatian, meskipun Duyong secara keseluruhannya selesa untuk menjalankan perniagaan.
“Bagi saya Duyong mungkin tak ada masalah sangat, cuma kalau hujan ada sebahagian tempat yang masih banjir.
“Masih ada pokok-pokok yang tumbang. Saya rasa setakat itu yang paling penting perlu diperhatikan,” kata Ammar.
‘Satu panggilan saja, cepat dia buat’
Di Semabok, pengalaman pengasas Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel, Maliga Govindasamy, 62 pula memperlihatkan dimensi berbeza perkhidmatan wakil rakyat, khususnya dalam membantu golongan memerlukan.
Sejak 2006, Maliga berdepan pelbagai cabaran menguruskan kanak-kanak yang kehilangan tempat bergantung, termasuk masalah persekolahan dan mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, bantuan Helmy banyak memudahkan urusan dengan jabatan kerajaan, terutama apabila ibu bapa kanak-kanak tidak dapat dikesan atau sedang menjalani hukuman penjara.
“Apa-apa masalah pendidikan, dia telefon Jabatan Pendidikan Negeri. Terus dapat bantuan untuk budak-budak sekolah.
“Kita minta YB Helmy, dengan satu panggilan saja, cepat diselesaikan,” kata Maliga.
Maliga yang menguruskan kira-kira 300 penghuni di enam rumah jagaan turut menghargai pendekatan Helmy yang menurutnya tidak membezakan latar belakang kaum atau agama dalam memberikan bantuan.
Pendidikan khas antara taruhan Helmy
Sementara itu, Helmy berkata, usaha memperkasa pendidikan khas menjadi antara keutamaannya, termasuk memperluas kemudahan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
“Ketika awal saya menjadi ADUN, hanya ada PPKI untuk sekolah rendah dan menengah. Hari ini kita telah ada aktiviti saringan untuk mengesan anak-anak autisme dan anak-anak istimewa, setahun empat kali,” kata Helmy.
Menurutnya, inisiatif itu turut melibatkan penubuhan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), penambahan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta bengkel latihan kemahiran seperti memasak dan membuat roti.
Majoriti 200 undi, mampukah dipertahankan?
Beliau menegaskan persediaan menghadapi pilihan raya bukan hanya tertumpu kepada kempen rasmi selama 14 hari, sebaliknya bermula sejak menerima mandat pada 21 November 2021.
"Daripada 12,000 undi, saya kira orang yang suka saya lebih 200 orang sahaja... Kini saya berpuas hati dapat menyatukan perbezaan dan apabila ia telah harmoni banyak perkara dapat diselesaikan," katanya.
Daripada kemenangan tipis pada 2021, Helmy kini berdepan cabaran membuktikan bahawa populariti dan rekod perkhidmatannya mampu diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.
"Bukan semua perkara bermula daripada saya, saya sambung usaha orang lama yang telah tergendala," katanya lagi.
Pada PRN Melaka ke-16, beliau berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan, dengan keputusan pengundi hanya akan diketahui pada 14 November ini.
Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan seramai 26,528 pengundi berdaftar, meningkat berbanding 18,237 pengundi pada PRN 2021, sekali gus menyaksikan pertambahan 8,291 pengundi di DUN Duyong.