Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran perlu setuju perjanjian atau berdepan ‘kemusnahan’ - Trump

President Donald Trump
Trump turut mengakui bahawa pentadbiran Iran ketika ini kelihatan lebih terbuka kepada pendekatan diplomatik. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi memberi amaran keras kepada Iran supaya mencapai perjanjian diplomatik dengan Washington atau berdepan “kemusnahan sepenuhnya”.

Dalam temu bual bersama media penyiaran AS, Trump berkata Tehran mempunyai dua pilihan jelas.

“Mereka boleh mencapai perjanjian, atau mereka akan dimusnahkan,” katanya.

Trump turut menyatakan harapannya agar kepimpinan Iran mengikuti kenyataan tersebut, sambil mendakwa AS mengetahui pergerakan senjata negara itu, termasuk pemindahan peluru berpandu dari lokasi bawah tanah.

“Mereka telah mengeluarkan sebahagian peluru berpandu. Semua itu boleh dimusnahkan dalam satu hari,” katanya.

Bagaimanapun, dalam nada yang agak bercampur, Trump turut mengakui bahawa pentadbiran Iran ketika ini kelihatan lebih terbuka kepada pendekatan diplomatik.

“Saya fikir mereka sebenarnya lebih munasabah dalam banyak perkara,” katanya, sambil menyifatkan beberapa pegawai baharu Iran sebagai lebih bijak berbanding kepimpinan terdahulu.

Mengulas mengenai isu pengeluaran uranium diperkaya dari Iran, Trump berkata langkah itu tidak semestinya perlu dari segi keselamatan, namun penting dari sudut persepsi awam.

“Saya tidak fikir ia perlu, kecuali dari sudut persepsi. Tetapi ia penting untuk menunjukkan bahawa kita mendapatkannya,” katanya.

Kenyataan terbaharu Trump itu dilihat menandakan pendekatan tekanan berterusan terhadap Iran, di samping membuka ruang kepada kemungkinan rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.
 

 

Must Watch Video