MEKAH: Jumlah jemaah haji Malaysia di Tanah Suci kini mencecah lebih 25,000 orang, dengan keseluruhan operasi kemasukan berjalan lancar menjelang kemuncak ibadah haji tidak lama lagi.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, keadaan semasa di Mekah ketika ini menyaksikan suhu harian melebihi 40 darjah Celsius, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi dalam kalangan jemaah, khususnya dari aspek kesihatan.
Menurut beliau, Tabung Haji (TH) sentiasa memberi peringatan berterusan kepada jemaah supaya menjaga kesihatan, terutama dalam menghadapi cuaca panas yang dijangka berterusan sehingga hari wukuf di Arafah.
“Jemaah perlu memberi perhatian kepada pengambilan air secukupnya, menggunakan payung ketika berada di luar serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan tekanan haba,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau turut menasihatkan jemaah supaya memberi keutamaan kepada ibadah dan tidak terlalu memaksa diri melakukan aktiviti fizikal yang berat, terutama dalam tempoh kritikal menjelang fasa Masya’ir.
Katanya, tahap kesihatan yang baik amat penting bagi memastikan setiap jemaah dapat menunaikan rukun terpenting dalam ibadah haji iaitu wukuf di Arafah.
“Jemaah perlu simpan tenaga dan fokus kepada ibadah. Misi utama kita adalah untuk berwuquf di Arafah,” katanya.
Menurut beliau lagi, perkara itu bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan “Al-Hajju ‘Arafah”, yang bermaksud haji itu adalah wukuf di Arafah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan memastikan semua jemaah berada dalam keadaan sihat dan bersedia, bagi mengelakkan mereka terlepas rukun utama yang menentukan kesempurnaan ibadah haji.
“Kita tidak mahu ada jemaah yang terlepas ibadah ini kerana ia boleh menjejaskan kesahihan haji mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, TH terus komited memastikan kebajikan dan kesihatan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara melalui pemantauan berterusan serta khidmat sokongan yang disediakan di Tanah Suci.