Skip to main content

Dunia

EU kenakan denda €200 juta terhadap Temu berhubung produk haram

FILE - A page from the Temu website is shown in this photo, in New York, June 23, 2023. (AP Photo/Richard Drew, file)
Temu didapati “gagal mengenal pasti, menganalisis dan menilai secara teliti risiko sistemik berkaitan produk haram yang ditawarkan di platformnya serta kesan mudarat terhadap pengguna di EU." - Gambar fail/AP

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengenakan denda sebanyak €200 juta (AS$232 juta) terhadap gergasi e-dagang China, Temu, kerana menawarkan produk haram di platformnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Temu “gagal mengenal pasti, menganalisis dan menilai secara teliti risiko sistemik berkaitan produk haram yang ditawarkan di platformnya serta kesan mudarat terhadap pengguna di EU,” menurut Suruhanjaya Eropah pada Khamis.

Siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu, termasuk pembelian misteri, mendapati banyak produk gagal melepasi ujian keselamatan.

Antara produk terbabit ialah pengecas yang tidak selamat dan permainan bayi yang mengandungi bahan kimia melebihi had keselamatan yang dibenarkan serta berisiko menyebabkan lemas.

Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Henna Virkkunen berkata penilaian risiko Temu “memandang rendah risiko sebenar, tidak cukup spesifik, tidak berasaskan bukti kukuh dan tidak menyeluruh.”

“Ia menyebabkan pengawal selia, pengguna dan orang ramai tidak mengetahui skala sebenar potensi mudarat yang berpunca daripada produk haram yang dijual di Temu. Kini tiba masanya untuk Temu mematuhi undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement