GERGASI media sosial Facebook bertekad untuk membantu lebih 4 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) dalam mendaftarkan diri sebagai pengundi pada pilihan raya Presiden negara itu pada November ini.

Pengasasnya, Mark Zuckerberg dalam satu penulisan akhbar USA Today berkata, Facebook akan menambahbaik ciri-ciri di laman itu dengan mewujudkan peringatan kepada pengguna untuk mendaftar sebagai pengundi bermula Julai ini.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha syarikat laman sosial popular dunia itu, untuk memperbaiki imejnya yang tercemar pada 2016.

Empat tahun lalu, Facebook didakwa menyebarkan maklumat palsu sewaktu pilihan raya.

Zuckerberg, sebelum ini, pernah didakwa memutuskan untuk tidak melakukan penyemakan fakta terhadap iklan-iklan politik yang dimuat naik ke pelantar media sosial itu.

Beliau, bagaimanapun, menafikan dakwaan itu dengan menyuarakan pendapatnya.

“Langkah yang terbaik untuk memastikan ahli politik kekal bertanggungjawab adalah dengan melalui pengundian.

“Saya percaya bahawa kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pengundi untuk membuat penilaian untuk diri mereka sendiri,” tulisnya menerusi ruangan pendapat akhbar itu.

Dalam pada itu, katanya, Facebook menjangkakan lebih 160 juta rakyat AS bakal menyaksikan beberapa ciri-ciri baharu pada media sosial syarikat itu yang katanya berteraskan maklumat berwibawa.

BACA: Facebook keluar 'amaran' kepada pengguna tular maklumat palsu COVID-19