DUNIA
FBI dedah imej suspek insiden tembakan Charlie Kirk

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Salt Lake City mendedahkan imej seorang individu yang dikehendaki berhubung insiden tembakan terhadap aktivis politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk.
WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Salt Lake City mendedahkan imej seorang individu yang dikehendaki berhubung insiden tembakan terhadap aktivis politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk.
Sehubungan itu, pihak berkuasa meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Ini merupakan imej pertama dikeluarkan FBI berhubung suspek yang dipercayai terlibat dalam kematian Kirk.
Sebelum itu, dalam hantaran di platform Truth Social, Presiden AS, Donald Trump menzahirkan rasa dukacita dengan menyifatkan Kirk sebagai “tokoh hebat, malah legenda.”“Tiada siapa yang lebih memahami dan dekat dengan hati generasi muda di Amerika Syarikat selain Charlie. Beliau disayangi dan dikagumi semua orang, termasuk saya,” tulis Trump.
Kirk yang juga dikenali sebagau aktivis politik dan sekutu Trump, maut selepas ditembak ketika berucap pada sebuah acara debat di Utah Valley University, pada Rabu.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beliau terkena tembakan di bahagian leher ketika menyampaikan ucapan di bawah khemah acara bertemakan “The American Comeback.”
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penonton yang hadir.
Polis mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung insiden tersebut.
Pertemuan terakhir Trump dan Kirk dirakam pada Disember 2024 ketika acara AmericaFest anjuran Turning Point USA di Phoenix, Arizona.
Turning Point USA yang diasaskan Kirk pada 2012 berkembang pesat sebagai platform politik konservatif untuk anak muda, khususnya di kampus universiti. Dengan gaya retorik lantang, beliau berjaya menarik pengaruh besar dalam kalangan Republikan muda dan sering tampil di media arus perdana.
Kirk juga dikenali sebagai individu rapat dengan keluarga Trump, malah organisasi pimpinannya menganjurkan konvensyen berskala besar melibatkan tokoh politik utama termasuk Trump sendiri.
Insiden tembakan yang meragut nyawa Kirk berlaku ketika Amerika Syarikat berdepan peningkatan keganasan politik sejak tahun lalu, termasuk beberapa serangan bermotifkan ideologi.
Setakat ini, White House dan keluarga Kirk masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi lanjut mengenai pemergian beliau. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami