Skip to main content

Dunia

FBI sahkan semua nota tebusan berkaitan kehilangan ibu Savannah Guthrie adalah palsu

FILE PHOTO: A sign reads stands amid yellow flowers left at the house of Nancy Guthrie, the 84-year-old mother of U.S. journalist and television host Savannah Guthrie, who went missing from her home on February 1, in Tucson, U.S., February 21, 2026. REUTERS/Rebecca Noble/File Photo
Papan tanda diletakkan di celah-celah bunga kuning yang ditinggalkan di hadapan rumah Nancy Guthrie, ibu kepada wartawan dan pengacara televisyen AS, Savannah Guthrie, yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Tucson, Arizona pada 1 Februari lalu. - Foto REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat mendapati ketiga-tiga mesej yang dikaitkan dengan dakwaan penculikan Nancy Guthrie, ibu kepada pengacara program televisyen 'Today', Savannah Guthrie, adalah komunikasi palsu dan tidak mempunyai kaitan dengan penculik sebenar.

Menurut seorang pegawai FBI yang enggan dikenali, penilaian itu merangkumi dua nota tebusan yang muncul pada awal Februari, beberapa hari selepas Nancy Guthrie, 84, dilaporkan hilang, serta satu lagi mesej yang lebih baharu daripada individu yang mendakwa mengetahui identiti penculik.

“Tiada satu pun nota tebusan itu dipercayai tulen,” kata pegawai tersebut.

Penilaian itu turut disahkan oleh satu lagi sumber penguat kuasa undang-undang yang mengetahui perkembangan siasatan.

Pendedahan itu menimbulkan persoalan baharu terhadap andaian awal bahawa Nancy Guthrie diculik untuk mendapatkan wang tebusan, memandangkan dua daripada mesej berkenaan sebelum ini dilaporkan secara meluas sebagai komunikasi daripada penculik.

Pejabat Syerif Daerah Pima, yang mengetuai siasatan keseluruhan kes, enggan mengulas lanjut.

Jurucakapnya, Angelica Carrillo, hanya memaklumkan bahawa siasatan masih aktif dan sampel DNA serta bukti video yang dikumpulkan masih menjalani analisis forensik.

Ketiga-tiga mesej tersebut pada asalnya dihantar kepada beberapa organisasi media termasuk laman berita hiburan TMZ sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dianalisis.

Nancy Guthrie dilaporkan hilang dari kediamannya di Tucson, Arizona pada 1 Februari lalu.

Beliau kali terakhir dilihat pada malam sebelumnya selepas meluangkan masa bersama anak perempuannya yang lain dan menantunya.

Sebelum ini, Savannah Guthrie dan adik-beradiknya beberapa kali merayu secara terbuka kepada individu yang mungkin terlibat supaya menghubungi keluarga mereka.

Dalam salah satu video yang dimuat naik di media sosial, Savannah turut menyatakan keluarganya sanggup membayar wang tebusan jika ibunya dipulangkan dengan selamat.

Menurut Reuters, FBI pernah memasukkan sejumlah kecil mata wang kripto ke dalam akaun yang dinyatakan dalam nota tebusan pertama sebagai usaha menguji kesahihannya dan mengesan pihak yang menghantar mesej tersebut.

Namun, wang itu tidak pernah disentuh atau dituntut.

Penyiasat kemudiannya menyimpulkan bahawa dua nota tebusan yang dipercayai berasal daripada penghantar yang sama sebenarnya dihantar oleh individu yang tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Nancy Guthrie.

Walaupun perhatian media terhadap kes itu semakin berkurangan sejak beberapa bulan lalu, pihak berkuasa menegaskan siasatan masih diteruskan.

Ganjaran lebih AS$1 juta juga masih ditawarkan bagi sebarang maklumat yang boleh membantu mengesan Nancy Guthrie atau menjelaskan apa yang berlaku kepadanya. 
 

 

Must Watch Video

Advertisement