Fed dijangka umum pemotongan kadar faedah kedua di sebalik gangguan data

Masalah diburukkan lagi oleh penutupan Kerajaan AS yang memasuki hari ke-29 dan mengancam sumber pendapatan kira-kira tiga juta pekerja persekutuan. - Gambar fail/AP
WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dijangka mengumumkan pada Rabu mengenai pemotongan kadar faedah kedua tahun ini bagi menyelamatkan pasaran pekerjaan Amerika Syarikat, walaupun cabaran sebenarnya, menurut penganalisis, ialah menentukan berapa banyak pemotongan diperlukan untuk benar-benar merangsang pertumbuhan tenaga kerja, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Tugas yang dihadapi oleh 12 ahli pengundi Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bank pusat itu bukan mudah disebabkan pertumbuhan pekerjaan kini semakin perlahan, dengan kadar pengangguran meningkat ke paras tertinggi hampir empat tahun iaitu 4.3 peratus pada September.
Masalah ini diburukkan lagi oleh penutupan Kerajaan AS yang memasuki hari ke-29 dan mengancam sumber pendapatan kira-kira tiga juta pekerja persekutuan.
Menentukan bilangan pemotongan kadar faedah oleh Fed dan tahap pengurangan yang diperlukan menjadi lebih rumit akibat gangguan pada penerbitan data pekerjaan mingguan dan bulanan oleh Biro Statistik Buruh iaitu agensi yang kini hanya beroperasi sebahagiannya disebabkan penutupan kerajaan. Kali terakhir biro melaporkan sebarang statistik buruh ialah pada 1 Oktober, hari penutupan bermula.
"Saya tidak pasti sama ada Fed mempunyai tindak balas yang mencukupi terhadap semua yang sedang berlaku," kata Ramesh Mohan, profesor ekonomi di Universiti Bryant, Smithfield, Rhode Island kepada RIA Novosti. "Ia mempunyai mekanismenya, tetapi tiada siapa yang tahu sejauh mana keberkesanannya kali ini."
FOMC melaksanakan satu pemotongan kadar sebanyak suku peratus pada September. Ia mempunyai dua lagi mesyuarat tahun ini dan lapan lagi sehingga 2026, menjadikan keseluruhannya 10 mesyuarat, cukup untuk membawa kadar faedah turun ke paras sifar daripada julat semasa 4.0 peratus hingga 4.25 peratus sekiranya bank pusat memutuskan gabungan pemotongan suku atau separuh peratus.
Ringkasan Unjuran Ekonomi Fed menunjukkan hala tuju pelonggaran berterusan. Ahli FOMC menjangkakan kadar faedah akan turun kepada sekitar 3.6 peratus menjelang akhir 2025 dan terus menurun kepada kira-kira 3.4 peratus menjelang akhir 2026.
Sesetengah ahli ekonomi berpendapat, kelemahan pasaran pekerjaan semasa memerlukan tindakan yang lebih tegas. Namun mereka juga bersetuju yang pemotongan kadar faedah ialah alat dasar yang bersifat umum.
Pemotongan kadar berfungsi dengan menurunkan kos pinjaman dan menggalakkan permintaan agregat dalam ekonomi keseluruhan. Walaupun ini membantu, ia mungkin tidak mencukupi untuk membalikkan kelemahan pasaran buruh yang berpunca daripada faktor bukan monetari seperti tarif perdagangan, ketidaktentuan korporat atau dasar imigresen yang ketat.
Merangsang pertumbuhan pekerjaan hanyalah separuh daripada mandat Fed. Separuh lagi ialah memastikan kestabilan harga melalui kawalan inflasi dan bank pusat itu juga tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam hal ini.
Data minggu lalu menunjukkan Indeks Harga Pengguna AS meningkat tiga peratus tahun ke tahun pada September. Kelebihannya ialah angka itu lebih rendah daripada unjuran pasaran sebanyak 3.1 peratus, tetapi keburukannya, ia masih lebih tinggi daripada pertumbuhan 2.9 peratus pada Ogos. Toleransi rasmi Fed terhadap inflasi hanyalah dua peratus.
Selain model ekonomi, Pengerusi Fed Jerome Powell turut berdepan tekanan politik yang hebat yang merumitkan setiap langkah dasar. Sekalipun Fed beroperasi secara bebas, Powell menghadapi tekanan terbuka daripada pentadbiran Trump untuk memotong kadar dengan lebih cepat dan mendalam bagi merangsang pertumbuhan. Ini membawa kepada tahap pengawasan politik yang luar biasa, termasuk cubaan untuk menyingkirkan atau mengetepikan gabenor tertentu Fed.
"Tiada lagi jalan tanpa risiko," kata Powell dalam satu ucapan pada 23 September di hadapan sekumpulan ahli ekonomi di Rhode Island. Ungkapan itu bukan sahaja relevan terhadap keseimbangan ekonomi yang cuba dicapai oleh Fed, tetapi juga terhadap halangan politik yang perlu diharunginya bersama pentadbiran kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


