awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Kuatkan integriti, bukan gilakan jawatan dan mabuk kuasa - Sultan Nazrin
Pemandu treler didakwa pandu melulu hingga sebabkan kematian
Pesara pegawai bank rugi lebih RM90,000 ditipu sindiket tawaran kerja di laman sosial
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Fenomena baharu di China: Aplikasi semak status hidup golongan solo

Agensi
Agensi
13/01/2026
01:30 MYT
Fenomena baharu di China: Aplikasi semak status hidup golongan solo
Menurut laporan Global Times, berdasarkan kajian, China dijangka mempunyai sehingga 200 juta isi rumah berpenghuni tunggal menjelang 2030. - Gambar hiasan
SATU aplikasi dengan nama yang kedengaran agak suram kini menjadi fenomena di China.
Dikenali sebagai ‘Are You D**d?’, konsepnya cukup mudah – pengguna perlu membuat ‘check-in’ setiap dua hari dengan menekan satu butang besar bagi mengesahkan mereka masih hidup.
Jika gagal berbuat demikian, aplikasi ini akan menghubungi individu yang ditetapkan sebagai kontak kecemasan untuk memaklumkan bahawa pengguna mungkin dalam kesulitan.
Dilancarkan pada Mei tahun lalu tanpa banyak perhatian, aplikasi ini kini menjadi tular dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila ramai anak muda yang tinggal bersendirian di bandar-bandar China memuat turunnya secara besar-besaran.
Fenomena ini menjadikan ia aplikasi berbayar paling banyak dimuat turun di negara tersebut.
Menurut laporan Global Times, berdasarkan kajian, China dijangka mempunyai sehingga 200 juta isi rumah berpenghuni tunggal menjelang 2030.
Golongan inilah yang menjadi sasaran aplikasi ini, yang digambarkan sebagai “teman keselamatan… sama ada anda pekerja pejabat yang tinggal sendirian, pelajar jauh dari keluarga atau sesiapa yang memilih gaya hidup bersendirian.”
Seorang pengguna di media sosial China berkata: “Orang yang tinggal sendirian pada bila-bila tahap kehidupan memerlukan sesuatu seperti ini, begitu juga golongan introvert, mereka yang mengalami kemurungan, penganggur dan sesiapa dalam situasi rentan.”
Seorang lagi menulis: “Ada ketakutan bahawa mereka yang hidup sendirian mungkin meninggal tanpa disedari, tiada siapa yang boleh dihubungi untuk membantu. Kadang-kadang saya terfikir, jika saya mati sendirian, siapa yang akan menguruskan mayat saya?”
Wilson Hou, 38, yang tinggal kira-kira 100km dari keluarganya berkata, faktor berjauhan dengan keluarga menjadi sebab dia memuat turun aplikasi tersebut.
“Saya risau jika sesuatu berlaku kepada saya, saya boleh mati sendirian di rumah sewa tanpa sesiapa tahu. Sebab itu saya muat turun aplikasi ini dan tetapkan ibu saya sebagai kontak kecemasan,” katanya.
Hou juga mengakui dia memuat turun aplikasi itu sebaik sahaja ia dilancarkan kerana bimbang ia akan diharamkan akibat konotasi negatif pada namanya.
Nama kontroversi
Ada yang mengkritik nama aplikasi ini kerana dianggap membawa nasib malang, malah mencadangkan ia ditukar kepada sesuatu yang lebih positif seperti “Are You OK?” atau “How Are You?”.
Namun, syarikat pembangunnya, Moonscape Technologies berkata, mereka sedang mempertimbangkan cadangan untuk menukar nama.
Menariknya, aplikasi ini kini tersenarai di kedudukan teratas kategori aplikasi berbayar di Amerika Syarikat, Singapura dan Hong Kong, serta berada di tangga keempat di Australia dan Sepanyol – dipercayai didorong oleh pengguna China yang menetap di luar negara.
Nama asalnya adalah permainan kata daripada aplikasi penghantaran makanan popular “Are You Hungry?”.
Dalam bahasa Cina, “Si-le-ma” kedengaran seperti “E-le-ma”, nama aplikasi makanan tersebut.
Pada mulanya dilancarkan secara percuma, aplikasi ini kini berharga 8 yuan (AS$1.15).
Siapa di sebalik aplikasi ini?
Tidak banyak diketahui tentang pengasasnya, kecuali mereka adalah tiga individu kelahiran selepas 1995 yang membangunkan aplikasi ini di Zhengzhou, Henan dengan kos sekitar 1,000 yuan (AS$140).
Kini, mereka merancang untuk menjual 10 peratus saham syarikat pada harga 1 juta yuan.
Selain itu, mereka juga merancang untuk memperluaskan sasaran pengguna dengan membangunkan produk baharu khusus untuk warga emas, memandangkan lebih satu perlima populasi China berusia 60 tahun ke atas.
Dalam satu kenyataan hujung minggu lalu, syarikat itu berkata: “Kami ingin mengajak lebih ramai orang memberi perhatian kepada warga emas yang tinggal sendirian, memberikan mereka lebih kasih sayang dan pemahaman. Mereka mempunyai impian, berusaha untuk hidup, dan layak untuk dilihat, dihormati serta dilindungi.” - Agensi
Topic Berkaitan
#aplikasi orang bujang
#Are You
#status hidup
#golongan solo
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan