Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Kesederhanaan Ramadan: Belajar dari Heidegger dan Abdul Qadir al-Sufi

Dr Maszlee Malik
Menyelusuri pemikiran ahli falsafah Jerman, Martin Heidegger dan gagasan ekonomi-kerohanian, Abdul Qadir al-Sufi akan membuka ruang renungan yang signifikan tentang bagaimana manusia seharusnya “berada” dalam dunia tanpa diperhamba olehnya.

RAMADAN sering difahami sebagai bulan menahan lapar dan dahaga. 

Namun dalam realiti masyarakat kontemporari, Ramadan juga hadir bersama ledakan komersialisme, pesta juadah dan budaya perbelanjaan yang ada kalanya dalam sesetengah keadaan agak melampaui batas kesederhanaan yang dianjurkan agama.

Advertisement

Lihat saja di medsos dan media arus perdana, Ramadan bagaikan pesta membeli-belah tahunan yang menggoda setiap Muslim untuk berbelanja dan membeli.

Maka persoalannya, Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan untuk melawan hawa nafsu, selayaknya jugalah mejadi sumber meghidupkan jiwa untuk menghayati kesederhanaan material juga. 

Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah: 183). 

Jelas dalam ayat di atas, misi utama berpuasa ialah untuk  mencapai takwa. 

Manakala takwa pula menuntut makna kesederhanaan dalam seluruh kehidupan, termasuk dalam urusan harta dan konsumsi.

Kesederhanaan tanpa makna hanyalah pengurangan angka; ia belum tentu membentuk takwa yang sebenar. 

Untuk menghidupkan kesederhanaan, kita memerlukan kesedaran dalaman dan ruhani yang mendalam. 

Dalam konteks ini, menyelusuri pemikiran ahli falsafah Jerman, Martin Heidegger dan gagasan ekonomi-kerohanian, Abdul Qadir al-Sufi akan membuka ruang renungan yang signifikan tentang bagaimana manusia seharusnya “berada” dalam dunia tanpa diperhamba olehnya.

Heidegger telah mengkritik manusia moden yang tenggelam dalam cara berfikir yang begitu materialistik sehingga melihat segala sesuatu sebagai objek guna. 

Dunia bukan lagi ruang makna, tetapi sekadar sumber yang menunggu untuk dimanfaatkan. 

Bahkan menurut Heidegger, hatta agama pun boleh terperangkap dalam logik ini sehingga menjadikan ritual sebagai komoditi dan bahan dagangan tanpa ruh dan makna. 

Dalam kerangka tersebut, Ramadan juga berisiko disempitkan peranannya sebagai rutin tahunan: siang menahan lapar, malam membalasnya dengan pesta makanan, di penghujungnya berbelanja habis-habisan untuk merayakan kejayaan sebulan berlapar dan dahaga di siang hari. 

Melalui kerangka ini, puasa menjadi alat fungsional, bukan eksistensial.

Heidegger mengajak kita kembali kepada persoalan tentang cara kita “ada” (being) di dunia. Ramadan sepatutnya mengubah cara kita berada. 

Lapar bukan sekadar kekosongan fizikal, tetapi pengalaman yang menyedarkan kita tentang kerapuhan diri, kebergantungan kepada Tuhan dan kefanaan hidup. 

Dalam al-Quran, Allah mengingatkan: “Dan makanlah serta minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A‘raf: 31). 

Ayat ini bukan sekadar menerangkan hukum tentang makanan semata-mata, tetapi prinsip hidup yang menolak pembaziran dan kerakusan.

Kesederhanaan material menurut pendekatan ini bukan sekadar mengurangkan pembelian, tetapi mengubah hubungan kita dengan benda. 

Makanan bukan objek nafsu; ia tanda rahmat. Wang bukan simbol kuasa; ia adalah amanah. 

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah anak Adam memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap untuk menegakkan tulang belakangnya” (Riwayat al-Tirmizi). 

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam mendidik disiplin dalaman individu, bukan sekadar kawalan luaran sahaja.

Di sinilah pemikiran pemikir Sufi moden dari Scotland, Allahyarham Abdul Qadir al-Sufi melengkapkan renungan tersebut. 

Jika Heidegger menegur krisis makna pada tahap ontologi, al-Sufi menegur krisis makna pada tahap ekonomi dan masyarakat. 

Beliau yang agak terinspirasikan dengan pemikiran Hedeigger telah mengkritik sistem kapitalisme moden yang memisahkan ekonomi daripada wahyu. 

Menurut beliau, Sistem kewangan yang berasaskan riba dan spekulasi akan dan telah melahirkan ketidakseimbangan sosial serta kekosongan spiritual dalam masyarakat, terutamaya umat Islam. 

Ekonomi Islam, menurut beliau, bukan sekadar sistem alternatif, tetapi manifestasi tauhid dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam konteks Ramadan, kesederhanaan bukan asketisme individual semata-mata; ia mempunyai dimensi sosial. 

Allah berfirman: “Supaya harta itu tidak hanya beredar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja di antara kamu” (Surah al-Hasyr: 7). 

Zakat dan sedekah ialah mekanisme memastikan keadilan dan keseimbangan. Jika Heidegger menggesa manusia keluar daripada cara hidup yang terjerat dalam kepenggunaan, al-Sufi menggesa pembinaan struktur ekonomi yang adil agar manusia tidak terus diperhamba oleh sistem.

Ramadan mendidik jiwa agar tidak tunduk kepada nafsu dan tuntutan dan godaan konsumerisme. 

Dalam masyarakat yang menjadikan konsumsi sebagai identiti, Ramadan septutnya hadir sebagai koreksi dan bukannya pemangkinnya. 

Rasulullah SAW digambarkan sebagai insan paling pemurah, dan baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan (Riwayat al-Bukhari). 

Kesederhanaan yang bertitik tolak dari kesedaran jiwa menuntut perubahan daripada kerakusan nafsu keinginan kepada kesyukuran, daripada ketamakan ingin memiliki semahunya kepada amanah, daripada rutin harian kepada momen untuk refleksi, dan daripada sikap individualisme kepada kesedaran solidariti.

Kesederhanaan material tanpa jiwa hanya menghasilkan penjimatan; tetapi kesederhanaan yang datang dari nurani akan melahirkan transformasi pada individu dan masyarakat. 

Apabila seorang Muslim menahan diri daripada berlebihan, dia bukan sekadar menjimatkan wang, tetapi juga sedang melatih kehendak dan menyucikan niat.

Apabila dia memberi zakat dan sedekah, dia bukan sekadar memindahkan harta, tetapi yang lebih penting , telah menghidupkan prinsip keadilan. 

Di sinilah pemikiran Heidegger tentang keaslian dan seruan al-Sufi tentang tauhid sosial bertemu, di mana kedua-duanya menuntut pemulihan makna dalam kehidupan manusia.

Akhirnya, Ramadan tidak dilihat bertujuan memiskinkan manusia, tetapi memerdekakannya daripada perhambaan material. 

Dalam dunia yang menjadikan “lebih” sebagai ukuran kejayaan, Ramadan mengajar bahawa nilai sebenar terletak pada “cukup” (qana’ah) dan syukur. 

Memberi jiwa kepada kesederhanaan material bererti mengembalikan Ramadan kepada hakikatnya sebagai medan pemurnian jiwa dan latihan membina masyarakat yang adil serta beradab. 

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar, tetapi bulan mendidik cara kita berada di dunia dengan iman, kesederhanaan dan tanggungjawab.


  • Dr Maszlee Malik ialah bekas Menteri Pendidikan.
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
     

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found