WASHINGTON: Seorang ahli politik Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan terhadap Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan hubungan yang tidak wajar di antara badan induk bola sepak dunia itu dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Siasatan itu diketuai Ahli Kanan Demokrat dalam Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan AS, Jamie Raskin, menerusi surat rasmi kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang meminta organisasi berkenaan menyerahkan pelbagai dokumen dan rekod komunikasi.
Menurut Raskin, siasatan berkenaan bertujuan meneliti dakwaan kemungkinan berlaku pertukaran kepentingan (quid pro quo) di antara FIFA dan pihak White House sepanjang penganjuran Piala Dunia 2026.
Beliau turut mendakwa FIFA berusaha mendapatkan layanan istimewa daripada pentadbiran Trump termasuk berkaitan keputusan Jabatan Kehakiman AS yang menggugurkan beberapa pendakwaan dalam kes rasuah bola sepak antarabangsa.
Siasatan itu juga memfokuskan isu harga tiket Piala Dunia 2026 yang didakwa melambung tinggi serta amalan jualan yang dikatakan merugikan pengguna.
Hubungan akrab antara Trump dan Infantino kembali menjadi perhatian apabila Presiden AS itu mengaku menghubungi Infantino bagi meminta semakan terhadap hukuman penggantungan pemain kebangsaan AS, Folarin Balogun, selepas menerima kad merah pada Piala Dunia 2026.
FIFA kemudiannya menggantung pelaksanaan hukuman automatik satu perlawanan terhadap pemain itu.
Selain itu, Raskin turut menuntut penyerahan rekod pelawat pejabat FIFA di Miami dan New York, termasuk pejabat yang beroperasi di Trump Tower, serta maklumat mengenai sebarang hadiah, pembayaran atau manfaat yang diberikan kepada Trump atau pihak berkaitan dengannya.
FIFA sebelum ini menegaskan bahawa keputusan badan kehakiman dan disiplin organisasi itu dibuat secara bebas tanpa campur tangan politik.