SUVA: Kerajaan Fiji merancang untuk meningkatkan sokongan bagi memastikan bekalan air di komuniti terpencil, dengan pam air berkuasa tenaga suria diberi keutamaan di bawah inisiatif pembiayaan baharu bernilai 2 juta dolar Fiji (kira-kira US$905,680), lapor Xinhua.
Langkah itu diambil ketika Fiji bersiap sedia menghadapi kemungkinan kesan El Nino, dengan komuniti dan petani dijangka berdepan tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber air sekiranya keadaan kering berterusan, menurut laporan media tempatan pada Jumaat.
Menteri Hal Ehwal Pelbagai Etnik, Kebudayaan, Warisan dan Kesenian Charan Jeath Singh berkata kementeriannya sedang mengenal pasti kawasan yang paling memerlukan akses bekalan air yang boleh dipercayai.
Beliau berkata sebahagian daripada peruntukan baharu itu boleh disalurkan untuk memasang pam air berkuasa tenaga suria di kawasan terpencil di seluruh negara.
Charan Jeath berkata inisiatif itu bertujuan menyediakan sumber air yang lebih dipercayai dan mampan kepada komuniti, selain mengurangkan kerentanan mereka terhadap kesan keadaan kering yang berpanjangan.
Beliau berkata kementerian kini sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pemasangan pam berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA