MANILA: Filipina mengesahkan dua kes pertama varian Omicron melibatkan dua pelancong masing-masing dari Nigeria dan Jepun, lapor Xinhua memetik Jabatan Kesihatan (DOH) pada Rabu.

Menurut DOH warga Nigeria itu tiba di Manila pada 30 Nov dengan penerbangan Oman Air, manakala warga Filipina yang pulang dari Jepun sampai pada 1 Dis dengan Philippine Airlines.

Kedua-dua individu itu kini diasingkan di kemudahan yang diuruskan Biro Kuarantin. Warga Filipina itu mengalami simptom selesema dan batuk semasa ketibaan, kata DOH.

Timbalan Setiausaha Kesihatan Maria Rosario Vergeire memberitahu pemberita seorang pengembara lengkap divaksin manakala seorang lagi tidak.

DOH sedang mengesan kemungkinan ada kontak rapat dengan penumpang lain dalam penerbangan yang sama.

"DOH sedang mengesahkan keputusan ujian dan status kesihatan semua penumpang penerbangan itu untuk menentukan sama ada terdapat kes lain yang disahkan atau penumpang yang mengalami simptom selepas ketibaan," tambah DOH.

Menurut DOH dua kes varian itu dikesan menerusi ujian penjujukan genom ke atas 48 sampel yang dikumpul pada Selasa.

Justeru, DOH menggesa orang ramai mematuhi piawaian awam minimum dan semua langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan.

DOH turut menyeru mereka yang belum divaksin untuk segera mendapatkan suntikan.

Filipina kini mencatat lebih 2.8 juta kes COVID-19 termasuk 50,351 kematian.

-- BERNAMA