KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengetengahkan nasib wanita Palestin yang dibunuh dengan kejam akibat pencerobohan berterusan Israel di Semenanjung Gaza.

Bercakap pada "International Conference on Women in Islam: Status and Empowerment" di Jeddah, Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha menggesa tindakan intensif diambil untuk mendedahkan kebiadaban Israel selain mempertahankan hak wanita dan rakyat Palestin.

Beliau berkata persidangan itu diadakan ketika rakyat Palestin berdepan pencerobohan kejam Israel, dengan majoriti penduduk yang terbunuh terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas, kata OIC dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Beliau menegaskan bahawa jumlah paling ketara mangsa yang dibunuh ialah golongan paling lemah.

Persidangan tiga hari anjuran OIC itu dihoskan oleh Arab Saudi di Jeddah.

Lebih 10,000 penduduk di Semenanjung Gaza terbunuh sejak 7 Okt, termasuk 2,641 wanita dan 4,104 kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Taha berkata sejak penubuhannya, OIC menumpukan kepada usaha mempromosi hak dan pemerkasaan wanita Islam.

Beliau juga mengesahkan keazaman OIC untuk meneruskan dialog yang membina untuk memperkasakan wanita Afghanistan dan menjamin hak mereka untuk mengakses pendidikan di semua peringkat dan menyertai kehidupan sosial.

-- BERNAMA