Skip to main content
Advertisement

Dunia

G7 gesa Iran hentikan sokongan ketenteraan yang didakwa diberi kepada Houthi

Houthi fighters escort a convoy carrying prisoners freed in Mokha through the Bani Matar district on its way to Sanaa, Yemen, Saturday, Sept. 12, 2026, following the Houthi takeover of the southern Red Sea port city. (AP Photo/STR)
Menteri-menteri itu menggesa semua pihak supaya mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan lagi kestabilan rantau itu. - Foto AP
Advertisement

ISTANBUL: Menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) pada Isnin menggesa Iran supaya menghentikan apa yang disifatkan mereka sebagai sokongan ketenteraan kepada kumpulan Houthi di Yaman, sambil memberi amaran bahawa bantuan berterusan boleh memburukkan lagi ketegangan di rantau itu serta mengancam perkapalan antarabangsa dan kestabilan global, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menteri luar Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) turut mengecam serangan berterusan oleh Houthi di Yaman dan terhadap Arab Saudi.

Menteri-menteri itu menggesa semua pihak supaya mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan lagi kestabilan rantau itu atau mengganggu perdagangan maritim yang penting kepada ekonomi global.

G7 turut menggesa penghentian segera serangan oleh Iran dan menekankan kepentingan melindungi laluan maritim dan kebebasan pelayaran, termasuk di Selat Hormuz dan laluan perairan penting yang lain.

“Kami menggesa penghentian segera dan tanpa syarat terhadap semua serangan oleh rejim Iran,” menurut menteri-menteri itu dalam satu kenyataan.

Mereka turut menegaskan semula “kepentingan melindungi laluan maritim dan keselamatan pelayaran, termasuk di Selat Hormuz dan semua laluan perairan penting yang berkaitan,” serta keselamatan rantaian bekalan global dan kestabilan pasaran tenaga.

Menteri-menteri itu menyatakan sokongan kepada negara yang berdepan serangan oleh Iran atau kumpulan yang disokong Iran, dengan menyatakan negara berkenaan mempunyai hak untuk mempertahankan wilayah dan melindungi rakyat mereka.

“Kami menyokong hak negara yang diserang tanpa alasan munasabah oleh Iran atau proksi Iran untuk mempertahankan wilayah dan melindungi rakyat mereka,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan semula sokongan terhadap keselamatan, kedaulatan dan keutuhan wilayah negara berkenaan.

G7 seterusnya menegaskan Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan menggesa Tehran menghentikan program peluru berpandu balistiknya serta apa yang disifatkan kumpulan itu sebagai aktiviti menyahstabilkan di rantau berkenaan dan di seluruh dunia.

Kumpulan itu turut mengutuk serangan di Iraq oleh Iran dan militia Iran terhadap kemudahan diplomatik, infrastruktur tenaga serta tentera AS dan pasukan pakatan anti-ISIS (Daesh), khususnya di Wilayah Kurdistan Iraq.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement