Mengenakan pakaian seperti anggota militan di tempat awam bukan idea yang bernas.

Tindakan dua pelakon tambahan memakai ves pengebom bunuh diri di tempat awam akhirnya membawa padah selepas pihak berkuasa di India bertindak melancarkan operasi tergempar.

Ini susulan laporan yang dibuat pasukan pengawal sempadan terhadap mereka yang didakwa berada dalam keadaan mencurigakan dan berlegar-legar di sekitar bandar Vasai–Virar di barat New Delhi.

Kedua-dua pelakon itu dikatakan sedang menaiki bas untuk pulang ke set penggambaran apabila mereka diserbu pasukan keselamatan.

Siasatan awal polis mendapati suspek ‘pengganas’ itu adalah Balram Ginwala dan Arbaaz Khan yang terlibat dalam penggambaran filem yang diarahkan oleh pengarah, Siddharth Anand.

Walaupun ia berpunca daripada salah faham, polis telah merekodkan nama kedua-dua pelakon terbabit bersama unit produksi filem tersebut kerana mencetuskan panik dan mengganggu ketenteraman awam.