MOSCOW: Gelombang haba, kemarau dan kebakaran hutan di Eropah menyebabkan hasil pelbagai tanaman merosot serta berpotensi meningkatkan harga makanan, termasuk minyak zaitun, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar The Guardian pada Selasa.
"Jika keadaan cuaca tidak kembali stabil dalam masa terdekat, harga dijangka meningkat pada musim luruh berikutan pengurangan bekalan buah zaitun untuk menghasilkan minyak zaitun," kata pengasas Citizens of Soil, Sarah Vachon, seperti dipetik akhbar itu.
Pengeluar sayur-sayuran, bijirin dan anggur merupakan antara yang paling terjejas. Persatuan penanam sayur-sayuran Perancis, Legumes de France, berkata gelombang haba dan kekurangan hujan telah menyebabkan ribuan tan hasil pertanian bernilai puluhan juta euro musnah.
Di beberapa wilayah, hasil tuaian salad, lobak merah, lik, bawang putih dan bawang mungkin merosot hampir separuh.
Suruhanjaya Eropah turut menurunkan unjuran hasil bagi beberapa tanaman, iaitu bunga matahari sebanyak tujuh peratus, jagung bijirin enam peratus serta kentang dan kacang soya masing-masing tiga peratus.
Keadaan paling kritikal dilaporkan di Sepanyol, pengeluar minyak zaitun terbesar dunia. Kementerian Pertanian Sepanyol menjangkakan hasil tuaian bijirin bagi musim 2026-2027 merosot daripada 24 juta tan tahun lepas kepada 18.5 juta tan, berdasarkan unjuran yang dibuat sebelum kebakaran hutan besar melanda negara itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Di Perancis, cuaca panas mempercepatkan proses pematangan anggur. Di wilayah Champagne, musim menuai mungkin bermula seawal 15 Ogos, antara tarikh paling awal pernah direkodkan. Bagaimanapun, hasil tuaian anggur di kawasan itu dijangka susut kira-kira 10 peratus berbanding tahun lepas.
Pengeluar minyak zaitun memberi amaran bahawa gelombang haba melampau, kemarau dan kebakaran hutan telah menjejaskan ladang di Sepanyol, Itali, Greece dan Portugal.
Kemarau serta suhu tinggi turut menyumbang kepada penularan perosak dan penyakit tanaman.
Harga minyak zaitun melonjak pada 2024 susulan beberapa musim tuaian yang lemah di negara Mediterranean. Walaupun harga mula menunjukkan penurunan secara beransur-ansur, pemain industri kini sekali lagi memberi amaran tentang kemungkinan kenaikan harga seawal musim luruh tahun ini.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI