DUNIA
Gelombang haba terbaharu di Sepanyol paling buruk pernah direkodkan - Agensi
MADRID: Agensi Meteorologi Sepanyol (AEMET) pada Ahad memaklumkan gelombang haba yang melanda negara itu pada Ogos merupakan paling buruk pernah direkodkan dari segi suhu mahupun kesannya, lapor Xinhua.
Pada 3 hingga 18 Ogos, suhu purata meningkat 4.6 darjah Celsius melebihi purata bermusim, mengatasi rekod terdahulu iaitu 4.5 darjah yang dicatat pada Julai 2022.
AEMET melaporkan bahawa 8 hingga 17 Ogos adalah tempoh 10 hari paling panas sejak sekurang-kurangnya 1950, manakala 20 hari pertama bulan ini mencatatkan suhu tertinggi bagi tempoh sama sejak sekurang-kurangnya 1961.
Sepanyol telah mengalami 77 gelombang haba sejak catatan rekod bermula pada 1975.Daripada jumlah itu, enam daripada gelombang terbabit mencatatkan suhu lebih empat darjah Celsius melebihi purata, dengan lima daripadanya berlaku selepas 2019, menyaksikan trend gelombang haba yang semakin panjang dan ekstrem.
Menurut Sistem Pemantauan Kematian Harian kerajaan, gelombang haba tahun ini telah meragut 1,149 nyawa.
Selain itu, cuaca panas melampau turut berlaku seiring dengan rekod bulan terburuk kebakaran hutan di Sepanyol.
Data daripada Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah menunjukkan 406,100 hektar tanah, iaitu kira-kira 5.5 kali keluasan Singapura musnah terbakar.
Kebakaran itu meragut empat nyawa dan memaksa lebih 30,000 orang berpindah.
Sebahagian besar telah kembali ke kediaman masing-masing, namun banyak kebakaran masih aktif setakat Ahad.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami