ISLAMABAD: Amerika Syarikat (AS) dan China mengadakan mesyuarat pertama Majlis Perdagangan menerusi sidang video bagi membincangkan tarif, perdagangan pertanian dan pengurangan tarif secara timbal balik, menurut Beijing pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.
Mesyuarat itu berlangsung pada Jumaat di bawah mekanisme perundingan ekonomi dan perdagangan dua hala, menurut Kementerian Perdagangan China.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang “terus terang, mendalam dan konstruktif” mengenai pelaksanaan persetujuan yang dicapai dalam rundingan perdagangan sebelum ini, berpandukan kata sepakat antara Presiden Donald Trump dengan Presiden Xi Jinping.
Perbincangan itu merangkumi tarif, pengaturan pengurangan tarif secara timbal balik yang digambarkan sebagai “30 bilion untuk 30 bilion”, perdagangan pertanian serta isu lain yang menjadi kepentingan bersama.
Secara berasingan, Pejabat Wakil Perdagangan AS mengumumkan menerusi platform media sosial X bahawa pentadbiran Trump sedang menubuhkan sebuah lembaga perdagangan AS-China bagi memudah cara perdagangan dua hala melibatkan produk yang tidak sensitif.
Inisiatif itu bertujuan memberikan manfaat kepada petani, penternak, nelayan, perniagaan kecil, pengilang dan pekerja Amerika.
Washington memaklumkan bahawa tarif yang tinggi akan terus dikekalkan bagi menangani apa yang disifatkannya sebagai amalan perdagangan tidak adil China serta melindungi kepentingan ekonomi AS.
Bagaimanapun, Washington menyatakan bahawa usaha mencapai perdagangan seimbang dalam sektor terpilih boleh membawa kestabilan lebih besar kepada hubungan ekonomi dua hala.
Beijing memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan komunikasi, menangani isu perdagangan yang masih belum diselesaikan dan memperluas kerjasama sambil merapatkan perbezaan pendirian.
Rundingan itu berlangsung ketika Washington dan Beijing berusaha menguruskan ketegangan perdagangan sambil mengekalkan hubungan ekonomi antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
-- BERNAMA-ANADOLU