TOKYO: Gempa bumi kuat menggegarkan timur Jepun pada petang Jumaat, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan, lapor saluran NHK.

Agensi Meteorologi Jepun berkata gempa yang berlaku pada magnitud 6.2 itu menggegarkan bangunan di Tokyo serta wilayah sekitarnya, tetapi belum ada laporan tentang nilai kerosakan sebenar.

Pusat gempa terletak berhampiran wilayah Chiba, di timur Tokyo, pada kedalaman 50 kilometer.

Rakaman NHK menunjukkan bangunan bergegar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Chiba.

Ketika ini pihak berkuasa lapangan terbang sedang memeriksa kerosakan pada landasannya.

East Japan Railway Co juga telah menggantung beberapa perkhidmatan kereta api di wilayah Chiba buat sementara waktu.

Pada Mac 2011, pantai timur laut Jepun dilanda gempa bumi berukuran 9 magnitud. Gempa bumi terkuat direkodkan di Jepun itu turut menyebabkan ombak tsunami besar.

Peristiwa itu mencetuskan krisis nuklear terburuk di dunia sejak peristiwa Chernobyl pada 1986.