ZAGREB:Gempa bumi dengan kekuatan 6.4 skala Richter melanda sebuah bandar di tengah Croatia pada Selasa, meragut nyawa sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak, manakala ratusan lagi tercedera dan menyebabkan kemusnahan teruk.

Pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan, dan pasukan tentera telah dihantar untuk membantu.

Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) memaklumkan pusat gempa berada di bandar Petrinja, 50 kilometer ke selatan Zagreb.

Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan di Sisak, Tomislav Fabijanic, memberitahu media tempatan ramai mangsa yang ditemui di Petrinja dan Sisak.

Sementara itu, Perdana Menteri Adrej Plenkovic, berkata: "Kami dimaklumkan seorang kanak-kanak terkorban. Belum diketahui jika ada mangsa lain yang maut," katanya.

Gempa itu juga dapat dirasakan di negara jiran termasuk Bosnia dan Serbia.

Di Slovenia, agensi berita STA melaporkan satu-satunya loji tenaga nuklear di negara itu, yang terletak 100 kilometer dari pusat gempa, ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Hungary, loji tenaga nuklear, Paks Hungary memaklumkan bahawa pihak mereka tidak menghentikan operasi walaupun gegaran turut dirasakan di sana.